EKONOMI

Penyertaan Pelabur Asing Dalam Pasaran Domestik Meningkat, Pegangan Dagangan Naik 36.2 Peratus Pada 2024

20/03/2025 05:13 PM

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Penyertaan dagangan pelabur asing di pasaran domestik meningkat kepada 36.20 peratus daripada jumlah aktiviti dagangan pada 2024 berbanding 29.51 peratus pada 2023.

Suruhanjaya Sekuriti (SC) berkata peningkatan penyertaan dalam kalangan pelabur asing berlaku seiring dengan peningkatan kecairan Bursa Malaysia Securities berbanding tahun sebelumnya.

“Peningkatan ini dicerminkan oleh kenaikan nilai dan jumlah dagangan harian keseluruhan, masing-masing berpurata sebanyak RM3.44 bilion dan 4.29 bilion unit pada sepanjang tahun ini,” menurut SC dalam laporan Tinjauan Kestabilan Pasaran Modal 2024 yang dikeluarkan hari ini.

Bagaimanapun, SC berkata pelabur asing merupakan penjual bersih pasaran ekuiti domestik dengan catatan aliran keluar bersih terkumpul sebanyak RM4.16 bilion setakat akhir 2024.

Dalam tempoh yang sama, purata nilai dagangan harian oleh pelabur asing sebanyak RM1.14 bilion dan purata jumlah dagangan harian 739.43 juta unit.

SC berkata pegangan asing dalam ekuiti Malaysia meningkat kepada 19.69 peratus setakat 31 Dis, 2024 daripada paras 19.54 peratus pada tahun sebelumnya.

Daripada peratusan tersebut, 32.08 peratus (RM131.22 bilion) pegangan asing terdiri daripada pegangan oleh pelabur bukan strategik.

Sementara itu, SC berkata penyertaan dagangan pelabur institusi tempatan pada 2024 sebanyak 43.16 peratus, sedikit rendah berbanding nilai 43.32 peratus yang dicatatkan pada 2023.

Nilai purata dagangan harian oleh institusi tempatan di pasaran ekuiti domestik RM1.38 bilion dengan purata jumlah dagangan harian sebanyak 1.80 bilion unit.

“Sebaliknya, pelabur runcit tempatan mencatatkan kadar penyertaan yang lebih rendah iaitu sebanyak 20.64 peratus pada 2024 berbanding 27.17 peratus pada 2023.

“Nilai purata dagangan harian oleh pelabur runcit tempatan di pasaran domestik adalah RM640.22 juta dengan purata jumlah dagangan harian sebanyak 1.47 bilion unit,” katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan