EKONOMI

Keseluruhan Dana Komited Bagi Segmen PE, VC Berjumlah RM24.70 Bilion Pada 2024 - SC

20/03/2025 05:11 PM

 

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Jumlah dana komited dalam industri pasaran modal pada penghujung 2024 bagi ekuiti swasta (PE) dan modal teroka (VC) masing-masing berjumlah RM18.01 bilion dan RM6.70 bilion menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak RM24.70 bilion.

Bagi PE, Suruhanjaya Sekuriti (SC) berkata komitmen sebahagian besarnya diperoleh daripada pelabur korporat (40.91 peratus), pelabur individu dan pejabat keluarga (16.77 peratus) dan institusi kewangan (13.27 peratus).

“Bagi VC pula, agensi kerajaan dan syarikat pelaburan (35.99 peratus), dana kekayaan berdaulat (20.15 peratus) serta pelabur individu dan pejabat keluarga (19.55 peratus) membentuk tiga sumber pembiayaan teratas,” katanya di dalam Laporan Tahunan 2024 yang dikeluarkan hari ini.

Menurut laporan itu, tiga syarikat berdaftar teratas mengikut jumlah komitmen pelabur pada akhir tahun 2024 ialah Creador, Gaia Investment Partners dan Xeraya Capital.

Ia berkata pelaburan modal teroka (VC) pada 2024 tertumpu kepada peluang-peluang peringkat pertumbuhan (44.60 peratus), diikuti peringkat awal (35.98 peratus) dan peringkat permulaan (13.44 peratus).

“Pelaburan PE terutamanya disalurkan ke dalam peringkat pertumbuhan (83.82 peratus), dengan beberapa pelaburan ke dalam peluang peringkat awal (16.18 peratus). Secara keseluruhan, 90 urus niaga VC dan PE telah direkodkan pada 2024.

Dari segi industri sasaran, ia berkata perdagangan borong dan runcit (13.65 peratus) menunjukkan bahagian tertinggi pelaburan VC pada 2024, diikuti pentadbiran dan aktiviti khidmat sokongan (11.92 peratus), profesional, teknikal dan aktiviti saintifik (10.94 peratus).

Bagi PE, pelaburan sebahagian besarnya disalurkan kepada perkhidmatan teknologi (19.60 peratus) pada 2024, diikuti oleh pembuatan (15.18 peratus) dan kewangan dan insurans/takaful (7.11 peratus).

“Penyahlaburan portfolio PE sepanjang 2024 kebanyakannya adalah keluar daripada perniagaan dalam peringkat pertumbuhan, manakala sebahagian besar penyahlaburan VC adalah pada kedudukan peringkat awal, diikuti oleh peringkat pertumbuhan.

“Perniagaan yang keluar pada 2024 kebanyakannya melalui tawaran awam permulaan (IPO) atau jualan kepada pasaran awam dan penebusan saham,” katanya.

Bagi pendanaan ramai berasaskan ekuiti, SC berkata jumlah dana yang diperoleh pada 2024 menurun sebanyak 23 peratus kepada RM97.57 juta daripada RM126.28 juta dicatatkan pada 2023, dengan trend sama dapat dilihat pada bilangan kempen yang berjaya, berkurangan daripada 51 pada tahun sebelumnya kepada 35 pada 2024.

“Perdagangan borong dan runcit, pembaikan kenderaan bermotor dan motorsikal menerima pendanaan tertinggi pada 2024, berjumlah RM24.67 juta manakala, sektor pertanian, perhutanan, dan perikanan mengalami pertumbuhan ketara, dengan jumlah dikumpulkan berkembang dua kali ganda kepada RM17.81 juta pada 2024,” katanya.

Sementara itu, SC berkata jumlah bilangan penerbit menurun kepada 35 pada 2024, berkurangan daripada 51 pada tahun sebelumnya.

Walaupun 77 peratus penerbit ECF berpangkalan di Selangor dan Kuala Lumpur, minat yang semakin meningkat direkodkan daripada penerbit di luar Lembah Klang, termasuk dari Kelantan dan Negeri Sembilan, merangkumi 6.0 peratus daripada jumlah penerbit tahun 2024.

“Terdapat pengurangan pada jumlah bilangan pelabur sebanyak 24 peratus pada 2024 kepada 3,099, daripada 4,095 pada tahun sebelumnya. Pelabur pertama kali merangkumi 15 peratus pelabur ECF pada 2024,” katanya.

Bagi pembiayaan antara rakan setara (P2P), SC berkata jumlah dana meningkat 20 peratus pada 2024 kepada RM2.51 bilion, dari RM2.09 bilion pada 2023, manakala jumlah keseluruhan kempen pada 2024 meningkat kepada 34,512 dari 31,002 pada 2023.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan