AM

Program Souq MADANI Peluang Usahawan MADA Pasar Produk

20/03/2025 09:11 PM

ALOR SETAR, 20 Mac (Bernama) -- Seramai 22 usahawan bimbingan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berpeluang memasarkan produk kuih dan biskut raya mereka pada Program Souq MADANI Fitrah Raya MADA 2025 yang berlangsung dari 17 hingga 30 Mac. 

Pengerusi MADA Datuk Dr Ismail Salleh berkata program tahunan anjuran Bahagian Industri Makanan dan Usahawan MADA itu bertujuan menyediakan platform kepada usahawan, khususnya dalam bidang pembuatan kuih dan biskut raya.

"Objektif program ini adalah untuk meningkatkan pendapatan usahawan … selain hasil padi di Kawasan Muda, sumber pendapatan penduduk juga melalui aktiviti keusahawanan industri asas tani dan bukan padi.

"Program tahun ini melibatkan tiga lokasi iaitu di kompleks beli-belah Star Parade dan Alor Setar Mall, Alor Setar dan C-Mart Arau, Perlis," katanya kepada Bernama selepas majlis perasmian Souq MADANI Fitrah Raya MADA 2025 di sini hari ini.

Beliau berkata pada tahun lepas, nilai jualan usahawan bagi program itu sempena Aidilfitri mencecah RM1 juta dan diharapkan nilai jualan tahun ini dapat ditingkatkan lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya.

"Pihak MADA juga menggalakkan usahawan untuk melaksanakan inisiatif sendiri bagi menarik pembeli sama ada mengadakan promosi, jualan secara langsung di media sosial, menawarkan harga kompetitif dan strategi pemasaran lain yang berkesan untuk memastikan produk mereka habis terjual," katanya.

Sementara itu, Dr Ismail berkata hingga 31 Dis 2024, jumlah usahawan bimbingan MADA adalah seramai 2,460 orang dalam pelbagai kategori, iaitu industri asas tani seramai 1,321 orang, asas tani (1,091 orang) dan usahawan pemasaran (48 orang).

"MADA sentiasa berusaha memastikan setiap usahawan bimbingan mendapat manfaat yang signifikan daripada program yang dianjurkan, bermula dengan program pembangunan usahawan, pembangunan modal insan dan juga elemen pemasaran yang dapat bertindak sebagai pemangkin kepada peningkatan skala perniagaan yang diusahakan," katanya.

Beliau berkata selain tiga lokasi berkenaan, orang ramai juga berpeluang mendapatkan kuih dan biskut raya di outlet pemasaran Peladang MART Jalan Sultanah, Hub Industri Makanan Pendang dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim.

Usahawan Siti Nur Amyra Jamil, 28, dari Pendang berkata dia bersyukur atas peluang yang diberikan oleh pihak MADA, terutamanya kepada usahawan kecil yang baharu menceburkan diri dalam perniagaan produk kuih dan biskut raya. 

"Saya menjual lebih 20 kuih raya dan juga kek, setakat ini sambutan sangat baik … tahun lepas nilai jualan dianggarkan lebih RM7,000 dan diharapkan tahun ini lebih baik dan sedikit sebanyak dapat membantu menampung kos menyambut Aidilfitri," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan