KLUANG, 21 Mac (Bernama) -- Mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) kini reda dengan kejadian banjir yang berlaku di kediaman mereka, lebih-lebih lagi tinggal kira-kira hanya seminggu lagi umat Islam di negara ini akan meraikan kehadiran Hari Raya Aidilfitri.
Mangsa banjir Juri Amri, 78, berkata sekarang ini dia bersama isterinya Romlah Yusuf, 74, langsung tidak memikirkan persiapan untuk raya, termasuklah membuat kuih, juadah raya seperti ketupat dan sebagainya serta pakaian raya mereka.
Beliau yang tinggal di Kampung Parit Jepun berkata perkara yang difikirkannya adalah untuk membersihkan kediaman mereka yang ditenggelami air sehingga paras lutut, apabila dibenarkan pulang kelak.
“Sebelum ini untuk masa seminggu sebelum raya, ada juga saya fikirkan untuk melakukan sedikit persiapan bagi menyambut kehadiran dua anak kami serta keluarga mereka yang tinggal di Kulai dan Skudai berhari raya bersama-sama.
“Namun kini yang utama adalah untuk membersihkan rumah yang dinaiki air banjir, yang terburuk setakat ini setelah dua hari hujan lebat turun,” katanya kepada pemberita di PPS Sekolah Kebangsaan Seri Kencana, di sini, hari ini.
Sementara itu, Fara Nafisah Omar, 24, berkata dia juga kini sudah tidak memikirkan untuk persiapan raya dan hanya akan menyambut lebaran dengan apa sahaja berjaya diselamatkan semasa bencana itu.
Beliau berkata jika mengikut perancangan, pada hujung minggu ini dia akan membuat kuih raya dan melakukan persiapan dengan menghias rumah, namun ia terpaksa dilupakan setelah kediamannya terjejas banjir.
“Sekarang ini saya langsung tidak lagi memikirkan untuk membuat kuih raya dan jika berkesempatan kuih-muih juga juadah raya seperti ketupat serta rendang saya akan beli sahaja.
“Saya hanya memikirkan keadaan rumah setelah banjir surut dan setelah dibenarkan pulang nanti perkara utama ialah membersihkan rumah terdahulu barulah yang lain-lain,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial