Oleh AMIRUL MOHD SAJADI
KUALA LUMPUR, 21 Mac -- Malaysia perlu terus mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) agar mengambil tindakan tegas terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu atas dakwaan melakukan jenayah perang terhadap rakyat Palestin, kata pakar geostrategi dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) Prof Dr Azmi Hassan.
ICC terutamanya kata beliau, perlu tegas dalam menguatkuasakan waran tangkap dikeluarkannya terhadap pemimpin Israel itu sebagaimana dilakukan terhadap bekas Presiden Filipina Rodrigo Duterte yang ditangkap di Filipina baru-baru ini dan dipindahkan ke Belanda untuk berhadapan pertuduhan.
“Jikalau ICC boleh menggunakan saluran Polis Antarabangsa (INTERPOL) untuk menahan bekas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte di sebuah negara yang berdaulat baru-baru ini, mungkin tindakan yang sama dan tegas turut boleh diambil ICC bagi menangani isu ini (waran tangkap terhadap Netanyahu).
“Tindakan segera itu penting sebagai isyarat tiada negara atau pemimpin, tidak kira sejauh mana kuasa politik yang ada, mereka tidak akan terlepas daripada dipertanggungjawabkan jika terbabit jenayah perang atau genosid,” katanya kepada Bernama hari ini.
Azmi berkata kekejaman Israel terhadap penduduk Palestin semakin menggusarkan biarpun kesepakatan gencatan senjata sebelum ini telah dimeterai, namun ia sekadar retorik semata-mata dan rejim Yahudi itu terus-menerus melakukan jenayah perang terhadap penduduk wilayah itu.
Pada 21 Nov tahun lepas, ICC yang berpangkalan di The Hague, Belanda telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Israel Yoav Gallant atas dakwaan jenayah perang di Gaza dari 8 Okt 2023 hingga 20 Mei 2024.
ICC turut mengeluarkan waran tangkap terhadap komander Hamas Mohamad Deif.
Azmi berkata Malaysia perlu terus mendesak dan meningkatkan tekanan terhadap ICC dan PBB berhubung isu Palestin supaya keadilan dapat dicapai.
“Malaysia harus terus mendesak dan memperkuat tekanan terhadap ICC dan PBB agar prinsip keadilan tidak menjadi mainan politik,” katanya sambil menambah keadilan bagi rakyat Palestin hanya akan tercapai jika komuniti antarabangsa termasuk Malaysia tidak berputus asa mendesak pertanggungjawaban terhadap jenayah perang.
“Sekiranya Duterte boleh disiasat dan dikenakan waran tangkap dalam masa singkat maka Netanyahu juga harus menerima layanan yang sama. Keadilan tidak boleh memilih bulu,” katanya.
Duterte kini berdepan pertuduhan di ICC atas dakwaan jenayah terhadap kemanusiaan berkaitan perang ke atas jenayah dadah yang berlaku antara 1 Nov 2011 hingga 16 Mac 2019.
Beliau kini ditahan di Pusat Tahanan ICC di The Hague dan dijadualkan hadir di mahkamah antarabangsa itu pada 23 Sept tahun ini bagi mengesahkan pertuduhan terhadapnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial