CHUKAI, 21 Mac (Bernama) -- Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri sebanyak RM250 kepada guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja dan marbut membuktikan bahawa kerajaan tidak meminggirkan golongan agama.
Bilal Masjid Sultan Ahmad di sini, Muhammad Sya’rani Asa’ari, 36, berkata pemberian khas sempena Aidilfitri ini merupakan satu penghargaan kepada golongan agama yang terus berusaha menaikkan syiar Islam.
“Syukur Alhamdulillah dan sekalung penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang telah mengumumkan pemberian khas untuk guru KAFA dan petugas masjid.
“Walaupun jumlahnya mungkin dianggap kecil oleh sesetengah pihak, namun ia sedikit sebanyak dapat membantu saya membuat persiapan hari raya untuk empat anak yang berusia antara satu hingga 12 tahun.
“Di sini (Masjid Sultan Ahmad), kami mempunyai tiga imam, tiga bilal, dan seorang tok siak. Insya-Allah, sumbangan ini akan dimanfaatkan untuk keperluan kami,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa MADANI di masjid tersebut hari ini.
Sementara itu, seorang guru KAFA di Sekolah Kebangsaan Paya Bunga, Kuala Terengganu, Nashuha Azizah Abdul Wahab, 38, menyifatkan bantuan tersebut sangat bermakna buat dirinya dan rakan-rakan guru KAFA lain dalam membuat persiapan Aidilfitri.
Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata bantuan tersebut membolehkan beliau membeli barangan tambahan untuk keperluan hari raya yang semakin hampir.
“Suami saya bekerja sebagai pembantu am dan pendapatannya tidaklah besar, sekadar cukup-cukup untuk menampung keperluan keluarga kami.
“Alhamdulillah, saya anggap pemberian ini sebagai rezeki Ramadan. Ia pasti membantu menampung perbelanjaan barang raya yang masih belum lengkap,” katanya.
Perdana Menteri hari ini mengumumkan BKK Aidilfitri sebanyak RM250 kepada guru KAFA, guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja, dan marbut di seluruh negara.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata bantuan tersebut akan dibayar minggu depan, melibatkan 70,000 penerima dengan peruntukan sebanyak RM17 juta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial