DUNIA

Lapangan Terbang Heathrow London Kekal Ditutup Sehingga Tengah Malam Jumaat

21/03/2025 11:54 PM

LONDON, 21 Mac (Bernama-Xinhua) -- Lapangan Terbang Heathrow London kekal ditutup sehingga tengah malam Jumaat susulan "gangguan bekalan elektrik yang serius" akibat kebakaran di sebuah pencawang elektrik berhampiran, menurut seorang jurucakap.

Gangguan itu menjejaskan seluruh lapangan terbang tanpa jangkaan jelas mengenai pemulihan bekalan elektrik. "Bagi memastikan keselamatan penumpang dan kakitangan kami, tiada pilihan lain selain menutup Heathrow sehingga 23:59 GMT pada 21 Mac," kata jurucakap itu, lapor Xinhua.

Penumpang dinasihatkan agar tidak pergi ke lapangan terbang sehingga diberitahu kelak. Menurut Sky News yang memetik Flightradar24, sebuah laman sesawang penjejak penerbangan secara langsung, lebih 1,300 penerbangan, termasuk 120 yang sedang berada di udara, terjejas. Beberapa pesawat dialihkan ke lapangan terbang lain, termasuk Lapangan Terbang London Gatwick, lapangan terbang di Paris serta Lapangan Terbang Shannon di Ireland.

British Airways, syarikat penerbangan terbesar di Heathrow, menggesa pelanggan supaya tidak ke lapangan terbang sehingga makluman selanjutnya dan menyatakan yang pihaknya sedang berusaha untuk mengemas kini pilihan perjalanan mereka.

Lapangan Terbang Heathrow London, antara lapangan terbang tersibuk di dunia, mencatatkan rekod 83.9 juta penumpang tahun lalu.

Kebakaran yang tercetus di Hayes, utara lapangan terbang itu, turut menyebabkan sekitar 16,000 rumah berhampiran terputus bekalan elektrik. Punca kebakaran masih belum diketahui, tetapi National Grid sedang berusaha memulihkan bekalan secepat mungkin.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan