AM

Selangor Negeri Pertama Lancar Gudang Makanan, Perkukuh Sistem Keselamatan Bekalan

22/03/2025 03:32 PM

PELABUHAN KLANG, 22 Mac (Bernama) -- Selangor menjadi negeri pertama di negara ini menyediakan gudang makanan ataupun Gudang Makanan Selangor (GMS) dalam usaha memperkukuhkan sistem keselamatan bekalan karbohidrat serta protein terutama ketika berdepan situasi kecemasan luar jangka.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata GMS hasil usaha Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Gudang Tiong Nam Logistics, di sini akan menempatkan sejumlah 5,000 tan metrik beras dan satu juta kilogram daging sejuk beku dalam tempoh yang ditetapkan.

“Perancangan sekiranya ada kecemasan, bencana besar atau pandemik dan tidak boleh ada pergerakan, paling tidak kita yakin tiga bulan bekalan makanan boleh bertahan (dengan adanya GMS) di samping ia turut menjadi pengimbal kepada harga barang.

“Stok makanan ini tidak akan simpan selamanya, sebalik sampai beberapa tempoh tertentu kita keluarkan dan diganti balik. Bekalan itu juga ada yang akan dijual menerusi program Jualan Ehsan Rahmah (JER) dan Ehsan Mart dengan harga 15 ke 20 peratus lebih murah dari pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas melancarkan GMS di Pelabuhan Klang di sini hari ini, yang turut dihadiri Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor Datuk Izham Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Datuk Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi.  

Sementara itu Amirudin berkata pelaksanaan GMS adalah sebahagian usaha berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuhkan makanan, memperbaiki sistem bekalan dan memastikan harga bahan makanan kekal berpatutan khususnya bagi golongan memerlukan.

Beliau berkata di samping komited menjadi peneraju dalam memperkukuhkan sekuriti makanan negara, pelaksanaan GMS turut berfungsi sebagai penghubung strategik dalam rantaian bekalan makanan yang mampan serta efisien.

“Inisiatif ini diharap dapat menjadi model bagi negeri-negeri lain dalam memperkukuhkan bekalan makanan untuk kesejahteraan rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu Amirudin berkata buat masa ini kerajaan negeri melalui PKPS menyewa sebahagian gudang Gudang Tiong Nam Logistics sementara menunggu gudang sebenar di Kuala Selangor siap dibina.

“Saya nak maklumkan kita sudah kenal pasti tapak gudang dan ketika ini dalam proses menunggu Kebenaran Merancang (KM).

“Dalam tempoh satu tahun setengah, kita jangka akan punyai gudang makanan sendiri di Kuala Selangor dengan keluasan 4.046 hektar (10 ekar),” katanya.

Dalam perkembangan lain Mohamad Khairil berkata sebagai sebuah agensi kerajaan Selangor yang bertanggungjawab dalam sektor pertanian dan agro makanan, pihaknya sentiasa bersedia memainkan peranan utama bagi mengukuhkan rantaian bekalan makanan negeri.

“GMS ini adalah inisiatif strategik kerajaan negeri yang lahir daripada keprihatinan terhadap keperluan rakyat khususnya dalam menghadapi krisis seperti bencana alam, penularan wabak dan gangguan bekalan makanan global,” katanya dalam ucapan aluan di majlis pelancaran hari ini.

Beliau berkata di samping itu juga lebih RM90 juta telah diperuntukkan sejak 2022 bagi pelaksanaan yang merangkumi program JER dan GMS, termasuk sumbangan kerajaan negeri serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan