AM

Banjir Kilat Seperti ‘Kepala Air’ Kejutkan Penduduk Felda Air Tawar 1

23/03/2025 04:47 PM

Oleh Nur Fatin Mohmad Kadenen

KOTA TINGGI, 23 Mac (Bernama) -- Hujan lebat yang melanda tengah malam tadi mengakibatkan banjir kilat di Kampung Felda Air Tawar 1, dengan keadaan yang disifatkan seperti kepala air.

Kejadian itu berlaku begitu pantas sehingga ada penduduk yang terpaksa berpaut pada tiang untuk menyelamatkan diri awal pagi tadi.

Anizah Ali, 57, berkata kebanyakan penduduk tidak menyangka kampung mereka akan dilanda banjir kerana air sungai naik secara mendadak dan deras sekitar 3 pagi sebelum surut sepenuhnya kira-kira dua jam kemudian.

"Ini banjir paling teruk yang pernah kami alami. Air naik sehingga paras dada, menyebabkan kami yang tinggal berhampiran sungai hanya sempat menyelamatkan diri ke tempat selamat," katanya.

Menurutnya, kejadian itu mengejutkan kerana ketika banjir melanda daerah Kota Tinggi pada Rabu lepas, kampung mereka tidak terjejas.

“Awal pagi tadi, air naik secara tiba-tiba seperti kepala air. Kami langsung tidak sempat menyelamatkan barang dalam rumah, termasuk kuih raya yang baru dibuat serta motosikal dan kereta,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, adiknya, Halimah, 53, yang tinggal di rumah bersebelahan, berkata dia sempat berpaut pada tiang rumah selama lebih 20 minit sebelum air beransur surut.

“Nasib baik anak lelaki saya memasang tali untuk kami berjalan kerana arus sangat deras. Saya bersyukur kami semua selamat, cuma risau kerana baju dan buku sekolah dua anak yang bersekolah menengah turut terendam banjir,” katanya.

Bagi Nureita Amat Pale, 36, dua kereta miliknya dan suami tidak sempat diselamatkan akibat banjir kilat itu. Pelbagai kelengkapan perayaan, termasuk baju raya, juga rosak.

“Semua barang dalam rumah tidak sempat diselamatkan. Saya juga baru sahaja menyiapkan rempeyek untuk raya malam tadi, tetapi nampaknya tiada rezeki untuk menikmatinya,” katanya.

Menurut Nureita, kesan banjir itu menyebabkan rumahnya dipenuhi lumpur, yang dijangka mengambil masa lama untuk dibersihkan.

Sementara itu, Ketua Kampung Felda Air Tawar 1 Abdul Rashid A Samad berkata seramai 500 penduduk daripada 111 rumah terjejas dalam kejadian itu. Banjir turut menyebabkan sebuah jambatan di kampung itu runtuh.

“Kami berharap kerajaan negeri dapat menghulurkan bantuan kepada penduduk yang terkesan. Aidilfitri juga semakin hampir, jadi kami berharap jambatan ini dapat diselenggara segera kerana ia digunakan oleh ramai penduduk,” katanya.

Tinjauan Bernama mendapati penduduk bertungkus lumus membersihkan rumah yang dipenuhi lumpur serta membuang pelbagai barangan yang musnah akibat banjir.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan