AM

GETB Kongsi Rezeki Ramadan Bersama 'Frontliners', Kanak-Kanak Kurang Bernasib Baik

24/03/2025 11:19 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Great Eastern Takaful Berhad (GETB) mengukuhkan komitmen dalam membantu mereka yang memerlukan dan berbakti kepada masyarakat melalui satu daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu, GET-Care, sempena Ramadan ini.

Tahun ini, GETB menganjurkan dua inisiatif iaitu Program GREAT Ramadan dan GET-Sahur 2025, sebagai sebahagian usaha menghargai sumbangan petugas barisan hadapan serta membantu kanak-kanak kurang bernasib baik.

Ketua Pengawai Eksekutif Great Eastern Takaful Berhad Shahrul Azlan Shahriman dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya amat komited dalam membantu membuat perubahan positif bagi kehidupan mereka yang memerlukan. 

“Ramadan adalah masa untuk kita bermuhasabah, saling memberi dan membantu. Melalui GET-Care, kami berhasrat untuk terus memberikan sokongan kepada petugas barisan hadapan serta kanak-kanak yang kurang bernasib baik

“Menyaksikan senyuman pada wajah kanak-kanak ini dan mengetahui bahawa kami telah menunjukkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan, menguatkan lagi semangat kami untuk berkhidmat kepada masyarakat dengan penuh empati. Kami berharap untuk terus memberi inspirasi dan meningkatkan semangat mereka melalui inisiatif yang bermakna seperti ini,” katanya. 

Menerusi Program GET-Sahur 2025, Great Eastern Takaful menzahirkan penghargaan kepada wira barisan hadapan Malaysia dengan mengagihkan 100 pek hidangan sahur ke lima lokasi terpilih iaitu Hospital Kuala Lumpur (HKL), Institut Jantung Negara (IJN), Balai Bomba Keramat, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, dan IPD Dang Wangi.

Program tersebut bertujuan memberi sokongan dan menghargai dedikasi petugas barisan hadapan, di samping membantu menaikkan semangat mereka melalui pengagihan pek sahur oleh sukarelawan Great Eastern Takaful yang mengambil bahagian dalam inisiatif itu, kepada pegawai yang sedang bertugas ketika Ramadan. 

Ketua Pemasaran Great Eastern Takaful Berhad Rashida Mior Ahmad Darwish berkata melalui GET-Sahur, syarikat berharap untuk menyampaikan rasa terima kasih dan memberi sumbangan kecil tetapi amat bermakna lebih-lebih lagi semasa Ramadan kepada petugas barisan hadapan.

“Petugas barisan hadapan telah menunjukkan dedikasi yang tidak berbelah bagi dalam berkhidmat untuk negara, dan sewajarnya kami merakamkan penghargaan atas pengorbanan mereka. Inisiatif GET-Sahur mencerminkan komitmen kami dalam memberi kembali kepada komuniti serta memastikan mereka yang melindungi dan menjaga kita semua merasa dihargai,” katanya. 

Menurut kenyataan itu, Great Eastern Takaful sekali lagi menganjurkan Program GREAT Ramadan, dengan hampir  90 anak yatim dan asnaf dari dari Pusat Jagaan Kasih Murni dan Rumah Kasih Nurul Hasanah merasai pengalaman membeli-belah sempena hari raya di Pasar Raya Besar Mydin.

Diiringi 33 sukarelawan, kanak-kanak tersebut berpeluang memilih sendiri pakaian dan keperluan raya, agar mereka dapat meraikan Aidilfitri dengan penuh kegembiraan dan keyakinan.

Inisiatif tersebut adalah hasil usaha kolektif semua sukarelawan untuk memberikan pengalaman penuh makna dan tidak dapat dilupakan kepada kanak-kanak berkenaan.

Selain itu, Great Eastern Takaful juga menganjurkan Majlis Grand Iftar di Temu Jelatek, khusus buat anak yatim dan asnaf serta pesakit kanser kanak-kanak daripada Kumpulan Ibu Bapa dan Sokongan Anak-Anak Kanser (KIDS).

Majlis tersebut berlangsung dalam suasana penuh harmoni, membangkitkan semangat dan harapan dengan kanak-kanak itu berpeluang menikmati sajian sambil berkongsi pengalaman ketika menghadapi waktu mencabar sekali gus menjadikan majlis iftar tersebut lebih bermakna.

“Sebagai sebahagian daripada inisiatif GET-Care, Great Eastern Takaful akan terus berusaha untuk memupuk budaya prihatin dan tanggungjawab sosial.

“Melalui usaha berterusan, syarikat berharap dapat mencipta impak positif jangka panjang kepada komuniti, memastikan nilai perlindungan, kebaikan dan keprihatinan dipertahankan sepanjang masa,” menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan