AM

NIOSH Sedia Bantu Syarikat Penerbangan Patuhi Piawaian Kelestarian

23/03/2025 04:52 PM

PUTRAJAYA, 23 Mac (Bernama) -- Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) bersedia membantu syarikat penerbangan memenuhi standard kelestarian antarabangsa, khususnya Skim Pengimbangan dan Pengurangan Karbon untuk Penerbangan Antarabangsa (CORSIA).

NIOSH dalam kenyataan hari ini memaklumkan bantuan itu, dihulurkan anak syarikatnya NIOSH Certification Sdn Bhd (NIOSHcert), badan pengesahan tempatan pertama diakreditasi Jabatan Standard Malaysia dan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk melaksanakan verifikasi pelepasan karbon di bawah CORSIA. 

CORSIA diperkenalkan ICAO untuk mengurangkan kesan karbon daripada penerbangan antarabangsa melalui pelaporan pelepasan dan mekanisme pampasan karbon.

"Pematuhan terhadap inisiatif seperti CORSIA juga menyumbang kepada agenda nasional dalam memperkukuh prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

“Syarikat penerbangan yang mampu menunjukkan prestasi karbon yang sahih dan disahkan oleh pihak berkecuali akan lebih diyakini oleh pelabur, rakan niaga antarabangsa dan pelanggan.

"Dengan infrastruktur teknikal yang kukuh, dasar kerajaan yang progresif, serta kepakaran tempatan seperti ditawarkan NIOSHcert, industri penerbangan negara kini berada di landasan tepat menuju pertumbuhan lestari yang sebenar," menurut kenyataan itu.

Ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperkukuh industri penerbangan negara dengan memastikan pematuhan terhadap keperluan keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta piawaian kelestarian global.

Hasrat itu dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan Majlis Pertukaran Dokumen bagi Tempahan Penggantian Pesawat Lorong Tunggal Malaysia Aviation Group (MAG) pada Jumaat lepas. 

Industri penerbangan Malaysia sedang membina asas kukuh untuk pertumbuhan dan pengembangan berterusan, seiring dengan pemulihan sektor penerbangan Asia Pasifik yang mencatat pertumbuhan tahunan tertinggi dengan peningkatan 16.9 peratus dalam hasil penumpang per kilometer.

Tempahan 30 pesawat Boeing 737 oleh MAG mencerminkan komitmen syarikat berkenaan untuk berkembang dan kekal berdaya saing di samping memodenkan armada dan mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam industri penerbangan global.

Menurut NIOSH, pelaburan MAG dalam armada pesawat baharu yang lebih cekap bukan sahaja membuktikan kesungguhan syarikat itu untuk berkembang, tetapi juga membuka ruang kepada pelaksanaan strategi kelestarian yang lebih menyeluruh termasuk peraturan yang ditetapkan oleh ICAO.

"Tempahan pesawat baharu oleh MAG yang turut disokong pengesahan akreditasi CORSIA oleh agensi tempatan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, membuktikan bahawa Malaysia kini bersedia untuk menerajui industri penerbangan serantau yang lebih mampan dan bertanggungjawab," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan