AM

Banjir: KPWKM Belum Ada Keperluan Mohon Peruntukan Tambahan - Nancy

23/03/2025 05:01 PM

KUCHING, 23 Mac (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tidak bercadang untuk memohon peruntukan tambahan bagi menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di negeri-negeri yang terjejas dengan bencana tersebut ketika ini.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata bantuan keperluan asas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diletakkan di dalam depo simpanan seluruh negara setakat ini sudah mencukupi sekiranya bencana sedemikian berlaku secara tiba-tiba. 

“Setakat ini belum ada keperluan untuk peruntukan tambahan bagi banjir, dan sekiranya perlu kita akan bawa ke Kabinet atau saya mohon kepada Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan.

“Kita tidak boleh jangka bila waktunya bencana melanda, tapi kita memang sudah ada dana bantuan.. Jadi sebab itu bila tiba bencana yang tak dijangka macam sekarang, kita tak ada banyak masalah,” katanya dalam sidang media Program Sinar Syawal YKN 2025, di sini, hari ini.

Beliau berkata jumlah pegawai JKM yang bertugas di pusat pemindahan sementara (PPS) juga mencukupi, khususnya dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti. 

Beliau berkata pegawai JKM yang tidak menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri nanti akan bertugas di PPS yang ditetapkan.

“Saya juga masih belum menerima apa-apa laporan dari segi kekurangan pegawai di pusat pemindahan sementara (PPS)… kalau sebelum ini, sekiranya pegawai tambahan diperlukan kita akan hantar (pegawai) daripada negeri lain, negeri yang tidak menghadapi banjir - itu cara kita,” katanya. 

Setakat pagi tadi situasi banjir di Johor, Sabah dan Sarawak menyaksikan jumlah keseluruhan mangsa yang ditempatkan di PPS mencatatkan penurunan kepada 8,274 orang, berbanding 9,218 petang semalam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan