POLITIK

Ramanan Umum Bertanding Naib Presiden PKR

24/03/2025 10:34 AM

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Timbalan Ketua Penerangan PKR 1 Datuk Seri R. Ramanan mengumumkan akan bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti itu Mei ini.

Ramanan yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata keputusan itu dibuat bagi memperkukuh dan memperkasakan lagi PKR dari peringkat akar umbi sehinggalah pimpinan pusat.

“Sebelum mencapai keputusan untuk menggalas amanat sebegini penting, saya telah meluangkan masa berbincang dengan kalangan pimpinan, sahabat seperjuangan, serta anggota Keadilan di seluruh negara.

“Semangat perjuangan harus seiring dengan gagasan Malaysia MADANI dan saya percaya bersama-sama kita mampu lakukan yang terbaik demi masa depan negara. Membujur lalu melintang patah. Reformasi!” katanya dalam kenyataan.

Ahli Parlimen Sungai Buloh itu berkata beliau juga telah memaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR terlebih dahulu mengenai keputusan itu.

Media sebelum ini melaporkan lima penyandang telah menyatakan hasrat untuk mempertahankan jawatan naib presiden parti, iaitu Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang dan Nurul Izzah Anwar.

Selain itu Ketua Penerangan PKR yang juga Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil pada Ahad lepas juga mengumumkan hasrat untuk bertanding jawatan Naib Presiden PKR.

Pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP) parti berkenaan diadakan pada 24 Mei ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan