AM

Pahang Sambut Baik Usaha Yayasan Petronas Bantu Keluarga Asnaf

24/03/2025 10:23 AM

BENTONG, 24 Mac (Bernama) -- Pahang menyambut baik usaha Yayasan Petronas yang sudi menghulurkan bantuan kepada 400 ahli keluarga asnaf di negeri berkenaan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan Pahang Datuk Amizar Abu Adam berkata inisiatif  yayasan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu dilihat meneruskan tradisi menyemarakkan kemeriahan lebaran bersesuaian dengan temanya, Program Memacu Kehidupan: Hari Raya Aidilfitri.

“Alhamdulillah, pada hari ini Yayasan Petronas melaksanakan tanggungjawab sosialnya dengan mengagihkan bantuan berupa 400 pek perayaan kepada keluarga kurang berkemampuan di Pahang.

“Saya percaya, sumbangan berupa barang makanan asas dan kuih-muih ini membuktikan komitmen Yayasan Petronas yang amat luar biasa kerana memberi kegembiraan kepada keluarga asnaf menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Program Memacu Kehidupan Hari Raya Aidilfitri di Dewan Semai Bakti, Felda Kemasul di sini semalam. 

Turut hadir Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur Mohammad Ahmad Shazly Ramli dan Pengarah JKM Pahang Khairul Amri Ahmad.

Difahamkan, Program Memacu Kehidupan Hari Raya Aidilfitri itu bakal memberi manfaat kepada lebih 4,850 keluarga dan 21 rumah kebajikan dari seluruh negara, sekali gus membolehkan mereka merasai kemeriahan Aidilfitri bersama keluarga tersayang.

Justeru, Amizar berkata bagi pihak kerajaan negeri, beliau amat berbesar hati kerana Pahang antara negeri yang terpilih untuk menerima sumbangan berkenaan dan berharap, jumlah sumbangan itu ditingkatkan lagi pada masa hadapan.

Pada masa sama, beliau berkata terdapat khabar gembira buat warga Felda di seluruh negara termasuk Pahang dalam waktu terdekat ini.

“Kita tidak boleh umumkan sekarang tetapi perkara ini adalah untuk jangka masa panjang dan ada beberapa keputusan dasar melibatkan kerajaan negeri dan kerajaan pusat. Apa yang pasti, ia akan menggembirakan seluruh warga Felda dan akan diumumkan oleh Perdana Menteri pada bila-bila masa,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan