MELAKA, 25 Mac (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan meningkatkan kawalan di perairan Kuala Kesang hingga Kuala Sepang terutama di beberapa kawasan titik panas bagi membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan sepanjang perayaan Aidilfitri.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan Komander Maritim Norrimi Hassan berkata pemantauan dilakukan 24 jam setiap hari dengan kekuatan 20 anggota menerusi Op Khas Pagar Laut.
“Titik panas di perairan ini perlu diawasi secara berterusan bagi mengekang aktiviti jenayah termasuk penyeludupan barang-barang larangan dan kontraban, pencerobohan nelayan asing, selain membanteras penyeludupan barangan kawalan seperti minyak masak dan beras yang memberi kesan kepada ekonomi negara.
“Walaupun belum ada kes aktiviti jenayah direkodkan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, Maritim Malaysia tidak boleh leka dan perlu sentiasa bersiap siaga bagi melindungi perairan negara daripada sebarang ancaman,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.
Beliau berkata demikian ketika melakukan rondaan pada Op Khas Pagar Laut di sempadan perairan negara dan Indonesia.
Norrimi berkata sepanjang operasi berkenaan, kira-kira 60 peratus anggota Maritim Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan bertugas dan berada dalam keadaan siap siaga bagi melaksanakan operasi yang berlangsung dua minggu sebelum dan dua minggu selepas perayaan Aidilfitri.
Beliau berkata operasi itu melibatkan empat fasa iaitu pengumpulan maklumat, penguatkuasaan sebelum dan selepas perayaan, serta pemantauan berterusan menerusi post exercise debrief (PXD).
Langkah-langkah pemerkasaan seperti peningkatan keupayaan aset, latihan taktikal yang lebih intensif dan penggunaan teknologi canggih dalam operasi penguatkuasaan juga dipertingkatkan bagi menjamin keselamatan anggota di lapangan.
“Dengan kawalan ketat di pintu masuk utama negara, kita juga tidak menolak sindiket penyeludupan akan menggunakan laluan laut bagi mengelak dikesan terutama di kawasan yang menghubungkan perairan Dumai, Indonesia ke perairan Sepang, Selangor.
“Justeru, pasukan kita akan terus mempergiat rondaan dan operasi sekatan di perairan Melaka bagi mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan di Zon Maritim Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata sepanjang tahun lepas pihaknya melaksanakan 3,228 pemeriksaan visual dengan 20 tangkapan manakala di bawah Op Pagar Laut 2024, 394 pemeriksaan dijalankan dengan dua kapal tanker ditahan di bawah kesalahan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu berlabuh tanpa kebenaran dan melakukan aktiviti kapal ke kapal (STS).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial