AM

Sidang Kemuncak Kelestarian KL Tangani Jerebu Rentas Sempadan - Nik Nazmi

27/03/2025 10:12 PM

KUALA LUMPUR, 27 Mac  (Bernama) -- Jerebu merentas sempadan, isu yang berulang di rantau ini, dijangka menjadi satu daripada topik utama dibincangkan pada Sidang Kemuncak Kelestarian Kuala Lumpur (KLSS) yang pertama kali diadakan dari 14-16 Okt depan.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata KLSS yang diadakan bersempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia tahun ini, akan menghimpunkan  pelbagai pihak berkepentingan utama dari negara anggota ASEAN bagi mempercepatkan langkah tindakan iklim serantau. 

“Jerebu merentas sempadan juga dibincangkan secara akitf di platform ASEAN. Kita juga ingin melakukan beberapa perkara berhubung isu tersebut pada mesyuarat ASEAN tahun ini, jadi saya rasa itu antara isu yang akan kita bincangkan semasa KLSS nanti.

“Dengan matlamat untuk menghasilkan Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Daya Tahan Iklim, KLSS berhasrat menjadikan bandar raya ini sebagai platform utama bagi membincangkan daya tahan iklim pada masa hadapan,” katanya pada sidang media selepas prapelancaran Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia (IGEM) 2025 dan KLSS di sini hari ini. 

Nik Nazmi berkata KLSS yang akan menampilkan ketua-ketua pemikir dari seluruh rantau ASEAN dan Asia Pasifik, meliputi aktiviti seperti podcast, ucaptama serta perbincangan panel dan meja bulat yang kesemuanya memfokus kepada strategi boleh laksana yang mampu memberi impak di peringkat tempatan, serantau dan global.

-- BERNAMA 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan