AM

PJRM Aidilfitri Diperbanyak Di Minggu Akhir Ramadan - Armizan

25/03/2025 05:24 PM

PUTRAJAYA, 25 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperbanyakkan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Aidilfitri di minggu terakhir Ramadan, kata Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata PJRM Aidilfitri itu pada awalnya dijadualkan sebanyak 723 siri di seluruh negara bagi tempoh 17 hingga 30 Mac ini.

"Kita akan melipatgandakan (lebih 723 siri) PJRM Aidilfitri sebagai bantuan kepada mereka yang memerlukan penjualan barang-barang Unit Simpanan Stok (SKU) pada kadar diskaun 10 hingga 30 peratus (berbanding harga pasaran semasa).

"Kita mendapat sambutan yang cukup baik, itu sebab kita atur sebanyak mungkin siri PJRM Aidilfitri di seluruh negara khususnya di kawasan-kawasan golongan sasar, kita tambah lebih lagi kekerapannya," katanya kepada media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan dan Ihya Ramadan KPDN 2025, di sini hari ini.

Armizan berkata pelaksanaan PJRM Aidilfitri itu diharap dapat membantu meringankan beban masyarakat khususnya menjelang persiapan menyambut sambutan Aidilfitri.

Beliau berkata orang ramai boleh menyemak lokasi dan tarikh PJRM Aidilftri di https://www.kpdn.gov.my/ms/jualan-rahmah.

Menurut Armizan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan turun padang pada Khamis ini untuk memantau sendiri harga jualan barangan di lokasi terpilih PJRM Aidilfitri.

Sementara itu, pada majlis berkenaan Armizan menyampaikan sumbangan Wakalah Zakat Korporat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berupa 34 unit mesin dialisis bernilai RM1.3 juta kepada Kementerian Kesihatan dan Waqaf An-Nur Corporation Bhd.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan