BAGAN SERAI, 25 Mac (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan menyempurnakan perasmian Masjid Jamek Matang Gerdu di sini.
Keberangkatan tiba baginda pada kira-kira 7 malam disambut Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.
Turut hadir Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Tan Sri Mohd Annuar Zaini, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Sejurus tiba, baginda berkenan menanam pokok bunga tanjung atau mimusops elengi dan seterusnya membuka tirai plak sebagai simbolik perasmian masjid berkenaan.
Sultan Nazrin kemudian berkenan berbuka puasa bersama kira-kira 1,200 jemaah dan menunaikan solat maghrib berjemaah sebelum berangkat ke majlis santapan, diikuti solat isyak serta solat tarawih.
Masjid itu mula dibina pada 2018 dan siap pada 2020 dengan kos berjumlah kira-kira RM3.1 juta berkonsepkan binaan masjid nusantara.
Masjid yang terletak di Kampung Matang Gerdu, Bagan Serai itu mampu menampung kira-kira 1,000 jemaah pada satu-satu masa dan dilengkapi dengan pekarangan dataran terbuka, pusat komuniti, dewan serba guna serta bilik pengurusan jenazah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial