GEORGE TOWN, 26 Mac (Bernama) -- Wanita warga Vietnam yang disyaki memandu dalam keadaan mabuk sehingga melanggar seorang remaja lelaki hingga maut di Jelutong di sini pada Februari lepas akan didakwa di Mahkamah Majistret George Town esok.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata wanita yang berkahwin dengan lelaki tempatan itu akan didakwa bagi dua pertuduhan iaitu di bawah Seksyen 44(1) (a) dan Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kertas siasatan kes itu dirujuk semula kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Pulau Pinang hari ini dan mendapat arahan untuk mendakwa pemandu wanita itu di mahkamah esok,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Isnin lepas, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata polis menjalankan siasatan kes itu secara menyeluruh dan telah melengkapkan kertas siasatan sebelum merujuknya kepada TPR.
Hamzah bagaimanapun berkata ada beberapa arahan baharu yang sedang dilengkapkan oleh pegawai penyiasat antaranya laporan bedah siasat dan laporan kimia sebelum kertas siasatan itu dirujuk semula kepada TPR.
Akhbar tempatan melaporkan seorang bapa Ch’ng Hock Soo, 54, bingung kerana suspek masih belum didakwa di mahkamah berhubung kejadian langgar membabitkan anaknya Thomas Ch’ng Kai Hen, 18.
Dalam kemalangan 19 Feb lepas, Kai Hen yang sedang menunggu keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) maut di tempat kejadian apabila kereta yang didakwa dipandu dalam keadaan mabuk oleh wanita Vietnam itu merempuh beliau dan rakan-rakan ketika sedang berjalan di tepi Jalan Jelutong.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial