AM

Dakwaan Pampasan RM2 Juta Kepada Pihak Kuil Tidak Benar - Dr Zaliha

26/03/2025 07:08 PM

PUTRAJAYA, 26 Mac (Bernama) -- Dakwaan kerajaan memberikan pampasan RM2 juta kepada pihak Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata kerajaan juga tidak pernah menjanjikan atau meluluskan sebarang bentuk pampasan kepada pihak kuil seperti yang digambarkan, malah tiada sebarang perjanjian atau deal lain dibuat selain daripada penyelesaian yang dicapai iaitu pihak pengurusan kuil bersetuju untuk memindahkan rumah ibadat berkenaan ke lokasi baharu.

“Saya ingin menegaskan bahawa keputusan yang diambil adalah hasil perbincangan secara harmoni antara semua pihak yang terlibat dan bersifat menang-menang.

“Yang paling utama, pembinaan masjid yang tertangguh sejak 2020 di atas tanah milik swasta itu dapat diteruskan seperti yang dirancang, manakala pihak kuil pula bersetuju untuk berpindah ke lokasi alternatif yang telah dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ia sebagai mengulas dakwaan pendakwah bebas Firdaus Wong Wai Hung menerusi satu hantaran di laman Facebooknya semalam, yang meminta kerajaan mendedahkan deal sebenar berkenaan isu kuil itu dan persoalan sama ada pihak kuil menerima pampasan RM2 juta.

Dr Zaliha turut mengulangi bahawa kes berkenaan tidak boleh dijadikan sebagai rujukan (precedent case) untuk mana-mana kes lain pada masa akan datang.

“Ia adalah penyelesaian khusus kepada isu itu, yang ditangani dengan penuh hikmah, mengikut lunas undang-undang dan mempertimbangkan sensitiviti pelbagai pihak,” katanya.

Justeru, beliau menggesa semua pihak agar menghentikan polemik berkenaan dan mengelakkan daripada mengapi-apikan sentimen agama atau perkauman berdasarkan maklumat yang tidak sahih kerana ia boleh menggugat keharmonian dan perpaduan yang telah dibina bersama.

Dr Zaliha semalam dilaporkan berkata hasil rundingan antara pelbagai pihak termasuk pengurusan kuil, kerajaan mengenal pasti tapak baharu berkeluasan 4,000 kaki persegi, yang terletak kira-kira 50 meter dari lokasi asal bagi tujuan penempatan semula kuil berkenaan.

Khamis lepas, media melaporkan proses perbincangan mengenai pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang terletak di atas tanah milik Jakel Group berjalan dengan harmoni antara pihak syarikat, pengurusan kuil dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan