EKONOMI

Rakuten Trade Tawar Yuran Pembrokeran Baharu Bagi Dagangan Saham AS

26/03/2025 05:35 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Rakuten Trade Sdn Bhd (Rakuten Trade) melancarkan perkhidmatan pertama dalam pasaran, yang menawarkan yuran broker tergabung bagi dagangan saham Amerika Syarikat (AS).

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu berkata menerusi perkhidmatan baharu ini, pelabur boleh mengoptimumkan kecekapan kos dagangan dengan menggabungkan beberapa urus niaga bagi saham yang sama pada hari yang sama ke dalam satu yuran.

“Memandangkan yuran broker bermula pada RM1 (US$0.20) dan dihadkan kepada RM100 (US$25), pendekatan strategik ini meminimumkan kos urus niaga, sekali gus memberi peluang kepada pelabur mendapatkan lebih nilai apabila berdagang dalam ekuiti AS.

“Ini juga bermakna pelabur yang menjalankan dagangan harian bernilai tinggi akan mendapat manfaat daripada penyatuan dagangan mereka dan had yuran duti setem yang ditetapkan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Rakuten Trade Kazumasa Mise berkata memandangkan pengalaman yang sama sudah ditawarkan untuk dagangan Bursa Malaysia, pelabur runcit mudah beralih dan dagangan saham AS dengan kecekapan yang sama.

Katanya, pelabur runcit AS yang kerap berdagang sering dikenakan yuran pembrokeran dan dalam keadaan tertentu, yuran platform beberapa kali sehari.

“Kos broker yang tinggi selain kos tersembunyi seperti yuran platform dan penjelasan merupakan faktor penghalang bagi pedagang runcit.

“Dengan menggabung yuran dalam satu struktur yang tunggal dan telus, Rakuten Trade menawarkan kos urus niaga yang lebih jelas dan pengalaman yang lebih lancar apabila berdagang ekuiti AS,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jualan Ekuiti Rakuten Trade Vincent Lau berkata ketika ini lebih ramai pelabur tempatan berdagang dan melabur dengan kerap dalam pasaran AS.

“Dengan prestasi dan pulangan yang hebat, jadi tidak hairanlah pasaran AS menjadi kegemaran dalam kalangan pelabur runcit.

“Walaupun berdepan ketidaktentuan global dan sekatan ekonomi, kenaikan pasaran yang berpacukan kecerdasan buatan (AI) dan pendapatan korporat yang kukuh memberikan peluang sewajarnya kepada pelabur meskipun penilaian saham yang tinggi,” katanya.

Lau berkata Rakuten Trade kekal positif mengenai prospek keseluruhan pasaran AS seperti “Magnificent 7” dan saham berkaitan Bitcoin.

“Kelemahan yang berlaku baru-baru ini iaitu apabila Nasdaq merosot kepada hampir 10 peratus daripada paras tertinggi dalam sejarah, telah mewujudkan peluang membeli kepada pelabur runcit.

“Sebagai alternatif, pelabur boleh menggunakan strategi purata kos dolar dengan melabur secara berkala menerusi Raku-Invest untuk meminimumkan risiko apabila harga pasaran saham mengalami turun naik,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan