EKONOMI

RUU Iltizam Banteras Rasuah, Lonjak Pertumbuhan PKS - SAMENTA

26/03/2025 08:13 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) berkata Rang Undang-Undang Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 (RUU Ilizam) akan membendung amalan rasuah dalam sektor awam selain menyediakan dorongan untuk produktiviti, pertumbuhan serta pengembangan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Persatuan itu melalui satu kenyataan hari ini berkata RUU Ilizam merangkumi langkah-langkah utama untuk mengukuhkan tadbir urus, ketelusan dan akauntabiliti di seluruh entiti kerajaan.

"Antara peruntukan yang paling signifikan adalah yang bertujuan mengurangkan kerenah birokrasi serta menggalakkan integriti dalam perkhidmatan awam, dua elemen kritikal dalam usaha membanteras rasuah.

"Peruntukan ini juga akan memacu kecekapan dan produktiviti, sekali gus menjana keuntungan yang lebih tinggi untuk perniagaan.

SAMENTA berkata RUU Iltizam secara langsung menangani isu ini dengan memperkenalkan mekanisme bagi mengurangkan beban peraturan terhadap perniagaan serta menanda aras keberkesanan penyampaian perkhidmatan kerajaan, ini akan meningkatkan akauntabiliti dan ketelusan di semua peringkat kerajaan.

RUU ini akan membendung prosedur duplikat dan peluang untuk rasuah dengan memberi mandat ulasan berkala mengenai instrumen pengawalseliaan selain mengenakan keperluan pelaporan yang lebih ketat.

Penekanannya terhadap penanda aras prestasi yang jelas menetapkan tahap untuk pengawasan yang lebih kuat serta memupuk persekitaran yang mana PKS boleh berkembang tanpa menanggung kos tambahan atau risiko amalan rasuah, katanya.

Presiden SAMENTA, Datuk William Ng berkata rang undang-undang ini merupakan peristiwa penting dalam perjalanan Malaysia ke arah menjadi negara yang lebih bersih, produktif dan kompetitif selepas rasuah tidak akan mampu mempengaruhi PKS dalam keadaan kekurangan sumber bagi menavigasi kerumitan proses yang didorong rasuah.

Beliau berkata undang-undang baharu ini secara langsung akan menangani cabaran utama PKS dengan mewujudkan garis panduan yang lebih mantap untuk akauntabiliti dan ketelusan.

"SAMENTA berdiri teguh di belakang undang-undang ini dan bersedia untuk bekerja rapat dengan ahli -ahli kami bagi memastikan kejayaan pelaksanaannya.

"Kami yakin bahawa peningkatan yang dihasilkan dalam penyampaian serta pengawasan perkhidmatan akan merangsang PKS untuk pengembangan, berinovasi dan menyumbang dengan lebih mantap kepada pertumbuhan ekonomi negara," katanya lagi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan