AM

Kedah Umum Ahad Cuti Pelepasan Am Aidilfitri

26/03/2025 08:38 PM

ALOR SETAR, 26 Mac (Bernama) -- Kerajaan Kedah hari ini mengumumkan Ahad ini (30 Mac) sebagai Cuti Pelepasan Am sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata keputusan mengenai cuti itu dipersetujui dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri yang diadakan di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata bayaran bantuan khas RM1,000 telah dikreditkan kepada 5,600 penjawat awam di negeri berkenaan bersempena Aidilfitri.

“…bonus raya RM1,000 itu telah dikreditkan kepada penjawat awam negeri yang disekalikan dengan bayaran gaji bulan ini (Mac) dan ia melibatkan jumlah keseluruhan RM5.6 juta,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada November tahun lepas, Muhammad Sanusi mengumumkan bantuan khas RM2,000 kepada penjawat awam di Kedah yang akan disalurkan pada bulan Mac sempena Aidilfitri dan seterusnya pada Jun tahun sama.

Terdahulu, beliau menyampaikan ganjaran RM316,450 kepada atlet dan pegawai sempena temasya Sukan Para ASEAN 2023, Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA 2024 serta Sukan Olimpik 2024 yang berlangsung di Dewan Seri Mentaloon di sini.

Muhammad Sanusi berkata ganjaran itu diharap dapat memberi semangat dan dorongan kepada semua atlet dan pegawai yang terlibat untuk terus mencipta lebih banyak kejayaan serta mengharumkan nama Kedah di persada dunia.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai sumbangan daripada badan bukan kerajaan (NGO) yang menggerakkan tabung Aidilfitri untuk membantu pemain bola sepak Kedah Darul Aman FC (KDA FC) berjumlah RM200,000, Muhammad Sanusi mengucapkan terima kasih.

“…kerajaan negeri dan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) khususnya menghargai pihak-pihak yang datang membantu, membuat kebaikan di Kedah dan membantu pemain bola sepak di negeri ini,” katanya.

Semalam, barisan pemain dan pegawai pasukan KDA FC menarik nafas lega setelah menerima sumbangan keseluruhan RM200,000 menerusi Tabung Aidilfitri Pemain Bola Sepak Kedah yang disampaikan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan