AM

DVS Selangor Lupus 14,000 Babi Dijangkiti ASF Setakat Ini

26/03/2025 11:58 PM

SHAH ALAM, 26 Mac (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Selangor melupuskan kira-kira 14,000 ekor babi dipercayai dijangkiti penyakit Demam Babi Afrika (ASF) secara eutanasia setakat ini.

Pengarah DVS Selangor Dr Hassuzana Khalil berkata pelupusan ternakan berkenaan menggunakan gas karbon dioksida dan ditanam di kawasan ladang babi mengikut kaedah yang telah ditetapkan. 

Beliau berkata sehingga kini sebanyak 58 ladang meliputi daerah Sepang dan Kuala Langat telah merekodkan ASF dan diberikan perintah di bawah Seksyen 19 Akta Binatang 1953 (Akta 647) untuk pelupusan sebagai langkah kawalan perebakan penyakit. 

“Prosedur pelupusan babi di ladang positif melibatkan kos yang tinggi dan anggota petugas yang ramai membabitkan kerjasama daripada DVS negeri lain dan Ibu Pejabat Perkhidmatan Veterinar Putrajaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor Datuk Izham Hashim pada sidang media hari ini memaklumkan kira-kira 76,000 ekor babi yang dijangkiti ASF di 57 ladang di sekitar Kuala Langat dan Sepang telah selesai dilupuskan DVS minggu lepas.

Hassuzana berkata sehingga kini babi di 52 premis yang negatif ASF dibenarkan disembelih di rumah sembelih yang dilesenkan melalui permit pemindahan dan perlu mematuhi syarat-syarat DVS Selangor yang ketat.

“Antaranya ialah pematuhan kepada penetapan laluan pergerakan kenderaan pengangkut babi yang hanya digunakan ke rumah penyembelihan yang dilesenkan sahaja,” katanya.

Di samping itu, beliau berkata DVS Selangor telah membuka tujuh kertas siasatan melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 34 dan 36 Akta Binatang 1953 susulan Op ASF yang dijalankan di sekitar kawasan wabak.

Hassuzana berkata ladang babi di Selangor berada pada risiko kategori tahap tiga kerana tidak mempunyai tahap biosekuriti yang baik dan kedudukan jarak antara ladang terlalu dekat iaitu 0.5 hingga 1 kilometer radius sahaja.

“Dijangkakan jangkitan ASF akan terus berlaku kerana sehingga kini masih belum ada lagi vaksin untuk penyakit itu,” katanya.

Selain itu, beliau berkata DVS Selangor sedang mengeluarkan perintah di bawah Seksyen 23 Akta Binatang 1953 kepada semua ladang positif yang berkenaan bagi menjalankan prosedur nyahjangkitan di ladang babi masing-masing.

“Penternak juga tidak dibenarkan memasukkan babi baharu ke dalam ladang sehingga keadaan jangkitan betul-betul pulih dan Selangor diisytiharkan bebas daripada wabak ASF,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan