AM

KPKM Usaha Bantu Pulihkan Ternakan Babi Susulan ASF - Mohamad

29/03/2025 11:00 AM

KLANG, 29 Mac (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang mencari jalan dalam membantu memulihkan penternakan babi yang terjejas susulan wabak Demam Babi Afrika (ASF) khususnya yang melanda Selangor ketika ini.

Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata ketika ini penternakan babi di daerah Sepang dan Kuala Langat menghadapi masalah besar, susulan ribuan haiwan berkenaan terpaksa dilupuskan selepas dikesan terjangkit ASF.

Beliau berkata keadaan itu dijangka meningkatkan harga daging ternakan itu, susulan terpaksa bergantung dengan daging import.

“Usaha sedang dijalankan supaya penternak akan terus dapat memelihara (ternakan babi) yang baharu,” katanya pada Majlis Pelancaran Program Semarak Syawal 1446 Hijrah Peringkat Kebangsaan di Pasar Tani Taman Sri Andalas, di sini, hari ini.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Selangor sebelum ini memaklumkan setakat ini telah melupuskan kira-kira 14,000 ekor babi dipercayai dijangkiti penyakit ASF secara eutanasia.

Pengarah DVS Selangor Dr Hassuzana Khalil berkata pelupusan ternakan berkenaan menggunakan gas karbon dioksida dan ditanam di kawasan ladang babi mengikut kaedah yang telah ditetapkan.

Beliau berkata sehingga kini sebanyak 58 ladang meliputi daerah Sepang dan Kuala Langat telah merekodkan ASF dan diberikan perintah di bawah Seksyen 19 Akta Binatang 1953 (Akta 647) untuk pelupusan sebagai langkah kawalan perebakan penyakit. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan