IPOH, 27 Mac (Bernama) -- Seorang peniaga lemang Shamsur Ezam Mohd Afandi, 40 yang ingin menghargai pelanggan setia dan menyantuni golongan kurang berkemampuan sempena Aidilfitri, menjual lemangnya dengan harga lebih rendah iaitu RM10 sebatang.
Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata hampir 400 batang lemang biasa, jagung atau pulut hitam yang kebiasaannya dijual pada harga RM18 sehingga RM20 sebatang, dijual pada harga RM10 bermula kira-kira 3.30 petang semalam dan habis dalam tempoh satu jam setengah.
“Sebenarnya kita nak bagi hadiah ataupun sedekah untuk menghargai pelanggan-pelanggan saya di kawasan Klebang dan kawasan sekitarnya. Memang ini (lemang RM10) kita bagi untuk golongan yang kurang berkemampuan, jadi kita ambil keputusan kita jual RM10 sahaja sebatang.
“Kita menggunakan buluh kecil sikit. Kalau buluh ini pun sebenarnya, kita akan jual kira-kira RM15 sebatang, tetapi kita ambil keputusan jual RM10 sahaja sebatang,” katanya ketika ditemui Bernama di gerainya di Klebang Putra di sini, semalam.
Beliau berkata meskipun lemang itu dijual pada harga RM10 sebatang, namun kualiti tetap dijaga apabila dia memastikan rasa makanan itu sama seperti lemang yang dijual pada harga standard iaitu RM20 sebatang.
Shamsur Ezam berkata tiada bahan istimewa yang digunakan untuk menghasilkan lemang berkenaan melainkan bahan seperti garam, santan dan beras pulut, namun beliau menitikberatkan teknik kawalan api yang membuatkan lemangnya rasa berbeza sedikit dengan peniaga lain.
Perniagaan diwarisi sejak tahun 2000 daripada keluarganya itu, mempunyai ratusan pelanggan setia saban tahun yang mahu merasa keenakan lemang tersebut setiap kali menjelang Aidilfitri, selain turut menerima tempahan di luar musim perayaan.
Sementara itu, beliau berkata harga untuk sebatang lemang yang dijualnya pada tahun ini meningkat RM2 iaitu RM20 sebatang, akibat kenaikan harga barang.
“(Lemang) biasa, jagung atau pulut hitam tetap sama harga, RM20 sebatang untuk tiga jenis lemang tersebut. Tahun ini kos santan memang meningkat banyak sangat, ketara sangat.
“Dulu kita boleh dapat RM9 santan 1 kilogram (kg), sekarang dia (santan) pergi sampai RM14 sekilogram. Buluh pun naik harga, daun pisang pun naik harga sekarang ini, memang kita tak boleh nak kekalkan harga lama lagi,” katanya.
Selain itu, Shamsur Ezam berkata tempahan yang diterimanya untuk perayaan Aidilfitri pada tahun ini di luar jangkaan, sehingga terpaksa menolak tempahan kira-kira 6,000 batang lemang.
“Kami cuma boleh ambil tempahan sekitar 2,500 batang sahaja untuk satu hari pada Aidilfitri. Untuk lepas raya pula, kita boleh hadkan dalam 1,000 batang sehari sahaja. Itu untuk lepas Raya.
“Untuk malam Raya sahaja kira-kira 3,000 batang kita ambil tempahan. Untuk jumlah bersekali dengan malam raya, kira-kira 30,000 batang (tempahan lemang),” katanya.
Beliau berkata tempahan lemang itu juga hanya melibatkan tiga jenis iaitu lemang biasa, lemang jagung dan lemang pulut hitam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial