BERITA TERGEMPAR   Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 rakam ucapan takziah kepada Myanmar, Thailand dan rakyatnya susulan gempa bumi yang melanda rantau ini pada Jumaat | Malaysia as ASEAN Chair 2025 extends deepest condolences to Myanmar, Thailand and their people following the deadly quake that hit the region on Friday | 
 AM

Inovasi Lemang Tong Dram Bekas Tentera Raih Sambutan

27/03/2025 05:22 PM

PASIR PUTEH, 27 Mac (Bernama) -- Inovasi membakar lemang dalam tong dram membolehkan bekas tentera Jeffrey Abdullah, 44, menerima tempahan sebanyak 7,000 batang lemang sejak minggu lepas hingga 1 Syawal.

Beliau berkata lemang tong dram yang dijual berdekatan Masjid Padang Pak Amat itu meraih sambutan luar biasa setiap kali Aidilfitri.

"Saya mula mencipta lemang bakar dalam tong dram semasa berkhidmat sebagai tentera pada tahun 2000. Semasa Perintah Kawalan Pergerakan 2020, saya mula menjualnya di Kampung Pak Badol, Mahligai, Bachok. Sejak itu, pelanggan semakin mengenali produk saya," katanya kepada pemberita.

Beliau mengusahakan perniagaan itu bersama isterinya Nur Sabrina Zakaria, 41, serta dibantu 17 pekerja yang turut mendapat peluang menjana pendapatan sepanjang Ramadan dan Aidilfitri.

Jeffrey berkata keunikan lemang tong dram terletak pada aroma khasnya hasil penggunaan daun pisang hutan dan buluh asli dari Jeli. Lemang itu hanya menggunakan tiga bahan asas iaitu beras pulut, santan kelapa dan garam.

"Dalam satu tong dram, kira-kira 30 hingga 32 batang lemang boleh dibakar dalam masa 20 hingga 30 minit. Selepas masak, ia disalai menggunakan arang untuk memastikan kematangan lebih sekata," katanya.

Menurutnya, teknik itu bukan sahaja menjimatkan masa tetapi juga memastikan lemang masak sekata, berbeza dengan kaedah tradisional yang mengambil masa dua jam.

Inovasi dapur tong dramnya turut mendapat perhatian pembuat lemang dari negeri lain termasuk Pulau Pinang yang membeli tong buatannya untuk berniaga di sana.

Lemang Jeffrey ditawarkan pada harga RM15 hingga RM20 sebatang bergantung kepada saiz buluh. Selain lemang, rendang ayam turut dijual pada harga RM10 sebekas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan