BERITA TERGEMPAR   Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 rakam ucapan takziah kepada Myanmar, Thailand dan rakyatnya susulan gempa bumi yang melanda rantau ini pada Jumaat | Malaysia as ASEAN Chair 2025 extends deepest condolences to Myanmar, Thailand and their people following the deadly quake that hit the region on Friday | 
 DUNIA

Korea Utara Perkenal Pesawat Amaran Awal, Uji Dron Berkuasa AI

27/03/2025 05:23 PM

SEOUL, 27 Mac (Bernama-Yonhap) -- Korea Utara mendedahkan apa yang dipercayai sebagai pesawat amaran awal dan kawalan udara pertamanya, dengan media rasmi negara itu menyiarkan gambar pemimpin Kim Jong Un berada di atas platform pengawasan itu, lapor Agensi Berita Yonhap.  

Menurut Agensi Berita Pusat Korea (KCNA), Kim turut menyelia ujian prestasi “dron serangan bunuh diri” yang dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI), selain dron peninjau strategik yang baru dibangunkan. 

Pemeriksaan itu dilakukan pada Selasa dan Rabu ketika Kim membimbing projek penyelidikan pertahanan di Kompleks Teknologi Aeronautik Tanpa Pemandu dan kumpulan penyelidikan peperangan elektronik pengesan.  

Gambar yang disiarkan menunjukkan Kim berada di dalam pesawat yang menyerupai Peace Eye – model yang digunakan Korea Selatan dan dihasilkan oleh Boeing – sambil memberi arahan kepada pegawai tentera.  

KCNA melaporkan dron itu berjaya mengenai sasaran di darat, termasuk sebuah kereta kebal, menyerlahkan keupayaan canggih dron pengawasan untuk memantau sasaran strategik di darat dan di laut.

“Ujian itu membuktikan prestasi inovatif dron peninjau strategik baharu dengan keupayaan pengesanan yang mampu menjejak serta memantau pelbagai sasaran strategik dan aktiviti pasukan musuh,” menurut laporan itu.  

Kim menekankan kepentingan memberi keutamaan kepada teknologi tanpa pemandu dan kecerdasan buatan (AI), sambil menggesa perangkaan pelan negara jangka panjang yang sejajar dengan keperluan peperangan moden.

Beliau juga berpuas hati dengan kemajuan sistem gangguan elektronik dan senjata serangan, sambil menyatakan bahawa matlamat pemodenan pertahanan parti sedang dicapai secara “kualitatif.”  

KCNA menambah bahawa Kim memberikan arahan saintifik dan praktikal untuk mempercepatkan pembangunan senjata tanpa pemandu dari segi “kualitatif dan kuantitatif,” namun butiran lanjut tidak didedahkan.  

-- BERNAMA-YONHAP  


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan