EKONOMI

IGEM 2025 Dijangka Jana Potensi Perniagaan Bernilai RM5.5 Bilion

27/03/2025 08:09 PM

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia (IGEM) 2025 dijadualkan berlangsung pada 15-17 Okt dijangka menjana potensi perniagaan bernilai RM5.5 bilion berdasarkan kepada kadar pertumbuhan tahunan terkompaun industri tersebut.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Nik Nazmi Nik Ahmad berkata IGEM 2025 akan mempunyai 500 gerai pameran, menerima penyertaan dari 50 negara dan menarik kira-kira 50,000 pengunjung.

“Kami menyasarkan untuk meletakkan IGEM sebagai Sidang Kemuncak serta Pameran Greentech dan Cleantech yang terulung di Asia.

“Ia mengenai pengaruh, impak dan kepimpinan, mencerminkan pendekatan proaktif Malaysia terhadap tindakan iklim dan komitmen negara kita terhadap kemampanan, inovasi dan kemajuan global,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Insan IGEM 2025 dan Sidang Kemuncak Kelestarian Kuala Lumpur (KLSS) di sini hari ini.

Bertemakan  "Perlumbaan Ke Arah Pelepasan Karbon Sifar Bersih: Keterangkuman dan Kelestarian", IGEM 2025 akan memfokuskan kepada lima subtema utama iaitu memperkasakan bandar, mobiliti elektrik, menyahkarbon tenaga, mempercepatkan sirkular dan melindungi biodiversiti.

"Kesemua subtema itu penting dalam menghubungkan teknologi dan kemampanan untuk menangani cabaran global. Tema ini memberi inspirasi kepada tindakan, menggalakkan dialog dan memacu kemajuan merentas sektor," kata Nik Nazmi.

Beliau berkata IGEM 2024 berjaya melebihi sasarannya, mencapai RM10.18 bilion dalam potensi perniagaan, menarik 250 peserta pameran dengan 500 gerai pameran serta menerima peserta dari 68 negara.

Sejak 2010, IGEM telah menerima lebih 670,000 pelawat dari 126 negara dan meraih lebih RM63 bilion dalam potensi perniagaan.

Sementara itu, Nik Nazmi berkata KLSS akan dianjurkan buat kali pertama dari 14-16 Okt 2025 bersempena Kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia tahun ini.

“KLSS ialah platform antarabangsa yang menghimpunkan golongan pemimpin pemikir untuk bertukar pandangan dan pengalaman mengenai perubahan iklim dan kemampanan.

“Sidang kemuncak ini bertujuan untuk menyatukan peserta dari seluruh rantau, menyokong komitmen ASEAN untuk masa depan mampan dan berdaya tahan,” katanya.

Sidang kemuncak itu akan merangkumi podcast, ucaptama, panel dan meja bulat memfokuskan kepada strategi yang boleh diambil tindakan untuk impak tempatan, serantau dan global.

Beliau juga berkata dengan matlamat untuk menghasilkan Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Ketahanan Iklim, KLSS berhasrat untuk meletakkan bandar itu sebagai platform utama untuk perbincangan strategik mengenai ketahanan iklim untuk beberapa tahun akan datang.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar bercadang untuk menganjurkan KLSS sebagai acara tahunan pada masa depan.

Dalam pada itu, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah memainkan peranan penting dalam memacu pelaburan hijau bernilai tinggi dan mendapatkan petunjuk pelaburan berpotensi bernilai RM6.3 bilion, pencapaian tertinggi dalam potensi perniagaan sejak penubuhannya.

Pencapaian itu menekankan daya tarikan Malaysia yang semakin meningkat sebagai hab utama untuk teknologi hijau dan pembangunan mampan.

“Peningkatan stabil dalam potensi pelaburan IGEM, daripada RM3.08 bilion pada 2020 kepada RM6.3 bilion pada 2024, menunjukkan peningkatan keyakinan terhadap ekonomi hijau Malaysia.

“MIDA dengan kerjasama rapat dengan Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia, kekal komited untuk menarik pelaburan hijau bernilai tinggi, mengukuhkan status Malaysia sebagai hab kemampanan terkemuka,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid.

Beliau berkata pada IGEM 2024, RM6.3 bilion dalam pelaburan berpotensi yang diperoleh merentasi empat sektor penting terdiri daripada tenaga boleh baharu, hidrogen hijau, infrastruktur kenderaan elektrik dan pengurusan sisa.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan