KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Sapura Energy Bhd kembali meraih keuntungan dengan mencatat keuntungan bersih sebanyak RM189.53 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Jan, 2025, berbanding kerugian bersih sebanyak RM508.66 juta setahun lepas.
Hasil meningkat sebanyak 8.9 peratus kepada RM4.70 bilion daripada RM4.32 bilion sebelum itu, disumbangkan oleh segmen operasi dan selenggaranya (O&M), dipacu oleh pelaksanaan projek-projek baharu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat perkhidmatan minyak dan gas itu berkata hasil bagi segmen kejuruteraan dan pembinaannya (E&C) meningkat berikutan peningkatan kemajuan projek sedia ada dan pelaksanaan projek-projek baharu.
"Bagaimanapun, ia diimbangi oleh segmen penggerudian disebabkan oleh penggunaan pelantar yang lebih rendah,” kata Sapura Energy.
Segmen E&C mencatatkan pendapatan sebanyak RM3,006.6 juta, menunjukkan peningkatan sebanyak 11.0 peratus berbanding RM2,708.8 juta pada tahun yang sama.
Sementara itu, segmen O&M mencatatkan pendapatan sebanyak RM680.0 juta, iaitu RM99.7 juta atau 17.2 peratus lebih tinggi berbanding tahun yang sama.
Hasil segmen penggerudian pula sebanyak RM1.14 bilion untuk tahun semasa adalah lebih rendah sebanyak 7.3 peratus berbanding hasil RM1.23 bilion pada tahun yang sama.
Bagi suku keempat berakhir 31 Jan, 2025, syarikat mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM405.68 juta, berbanding kerugian bersih RM728.44 juta pada suku yang sama tahun lepas.
Hasil meningkat kepada RM1.19 bilion berbanding RM1.12 bilion sebelumnya.
Melihat ke hadapan, kumpulan itu berkata ia berada dalam kedudukan yang baik untuk meneruskan momentum pemulihan memandangkan nilai perolehan kontrak kumpulan adalah sebanyak RM8.5 bilion, pencapaian tertinggi dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Susulan perintah mahkamah yang meluluskan Skim Pengaturan Komposit Sapura Energy, kumpulan itu kini sedang memuktamadkan Pelan Pemulihan mereka, yang akan membolehkan kumpulan keluar daripada status Notis Amalan 17 (PN17) pada masa akan datang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial