KUALA TERENGGANU, 28 Mac (Bernama) -- Seorang pemandu bas ekspres ditahan kerana dipercayai positif dadah jenis Methapetamine atau pil kuda dalam operasi penguatkuasaan sempena Aidilfitri di Terminal Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di sini semalam.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu Zamri Samion berkata lelaki berusia 30 tahun itu, ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selepas gagal saringan air kencing kira-kira 9.45 pagi.
Beliau berkata siasatan awal mendapati pemandu bas utama yang berasal dari Kuala Terengganu itu, sepatutnya membawa bas ekspres ke Pasir Gudang, Johor.
“Kita telah mengarahkan pihak syarikat mengambil tindakan segera dengan menukar pemandu bas utama itu dengan pemandu gantian, bagi memastikan penumpang sampai dalam keadaan selamat.
“JPJ sangat memandang serius isu penggunaan dadah ketika memandu bas ekspres yang sangat merisikokan keselamatan dan nyawa penumpang. Dalam hal ini kita akan melakukan pemeriksaan serta semakan ke atas pemandu dan syarikat dengan sangat intensif,” katanya pada Operasi Khas Sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri (Ops HRA) 2025, di sini malam tadi.
Sementara itu, Zamri berkata 940 saman telah dikeluarkan sepanjang Ops HRA bermula 24 Mac hingga semalam.
Beliau berkata ia hasil pemeriksaan ke atas 5,544 kenderaan termasuk motosikal, kereta dan lori.
“Dalam operasi itu juga JPJ Terengganu telah mengeluarkan 603 lain-lain notis dengan lapan kenderaan disita,” katanya.
Zamri berkata 20 kawasan kerap berlaku kemalangan juga dikenal pasti di seluruh Terengganu.
Ia termasuk dua lokasi di Kuala Terengganu, Marang (empat), Dungun (tiga), Kemaman (dua), Hulu Terengganu (empat), Setiu (tiga) dan Besut (dua).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial