KUANTAN, 28 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerima 1,478 aduan di seluruh negara dalam tempoh empat hari pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) yang dikuatkuasakan bermula 24 Mac.
Timbalan Menteri KPDN Dr Fuziah Salleh berkata antara aduan diterima melibatkan kes jualan barangan melebihi harga maksimum dan tidak meletakkan tanda harga.
“Kebiasaan pihak yang tidak cakna dengan hal ini ialah peniaga runcit dan bukan pasar raya besar, mungkin mereka ingat pengguna tidak tahu hak mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan sesi turun padang ke Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Mega Aidilfitri Peringkat Pahang berhampiran Pasar Nelayan Pantai Sepat di sini hari ini.
PJRM anjuran KPDN dengan kerjasama strategik dua oprateor dan Lembaga Ikan Malaysia (LKIM) Pahang yang berlangsung selama dua hari sehingga esok itu, menawarkan 80 barangan keperluan harian bagi menyambut Aidilfitri.
Pengunjung akan menikmati potongan harga barangan pada 10 hingga 30 peratus lebih rendah daripada pasaran tempatan, yang bertujuan antara lain bagi membantu meringankan beban kos sara hidup.
Antara barangan dijual ialah daging segar, ayam segar, beras lima kilogram (kg), sayur-sayuran, telur ayam, minyak masak lima kg dan tepung gandum.
Justeru, Fuziah berkata SHMMP amat diperlukan semasa musim perayaan seperti Aidilfitri bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan besar.
Mengulas mengenai santan segar yang menghadapi masalah bekalan sebelum ini, Fuziah menyatakan harga siling bagi sekilogram bahan itu di bawah SHMMP ialah RM17.50 berbanding harga pasaran iaitu antara RM21 dan RM28.
“Sempena raya ini peniaga tidak boleh jual melebihi RM17.50, saya juga mengingatkan peniaga jangan campurkan air untuk mencairkan santan. Ini kerana kerana kita tahu penjual tetap untung dengan harga itu," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial