AM

Kemeriahan Aidilfitri Dirasai Rakyat Berbilang Kaum, Peluang Erat Silaturahim

31/03/2025 02:40 PM

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Semangat perpaduan kukuh ditunjukkan rakyat pelbagai kaum dan agama yang turut sama meraikan sambutan Aidilfitri menjadikan kemeriahan perayaan umat Islam itu amat dirasai di seluruh negara.     

Di manapun mereka berada, sama ada di selatan, pantai timur mahupun di utara tanah air, rakyat mengambil peluang pada hari kemenangan umat Islam ini untuk mengeratkan silaturahim antara keluarga dan masyarakat dengan menghadiri majlis rumah terbuka dan mengunjungi sanak saudara.

Situasi itu dapat dilihat di JOHOR dengan kira-kira 20,000 orang hadir memeriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi di kediaman rasminya di Saujana, Johor Bahru, menyaksikan 34 gerai menyediakan pelbagai juadah, seperti mi rebus, laksa Johor, burasak, ketupat, rendang serta nasi beriani.

Seorang pengunjung, Vivinraj Muthu, 24, berkata ini kali pertama dia menghadiri majlis rumah terbuka berkenaan dan tidak menyangka begitu ramai hadirin sehingga dapat merasai kemeriahan Aidilfitri yang disambut kepelbagaian bangsa. 

Bagi Goh Sook Fong, 59, pula dia sanggup melakukan perjalanan dari Pulai hanya kerana ingin merasai kemeriahan majlis berkenaan selain menikmati pelbagai juadah tradisi hari raya.

Di NEGERI SEMBILAN, kira-kira 10,000 rakyat berbilang kaum dari seluruh negeri itu hadir memeriahkan Majlis Istana Terbuka di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah, seawal 9 pagi.

Keberangkatan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud ke majlis itu menambahkan kemeriahan apabila Baginda turut berkenan menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir.

Pengunjung, Iznur Zaini, 27, berkata dia bersama rakan-rakannya tidak pernah ketinggalan untuk ke Istana Terbuka berkenaan setiap kali Aidilfitri, menyifatkan ia sebagai platform terbaik untuk merapatkan ukhuwah antara masyarakat.

"Semua kaum Melayu, India, Cina ada, suasana raya itu memang terasa,” kata anak jati Kuala Pilah itu.

Di KELANTAN pula, Majlis Penghadapan Hari Raya Aidilfitri anjuran Istana Negeri di Istana Balai Besar, Kota Bharu, dihadiri ribuan masyarakat pelbagai kaum malah masing-masing turut memakai busana hari raya berwarna-warni.

Warga emas, Liew Fong, 60, berkata ini buat julung kali dia mengunjungi rumah terbuka Aidilfitri di Istana Balai Besar untuk merasai juadah tradisi seperti ketupat, lemang dan kuih-muih.

"Sangat meriah rumah terbuka ini dan juadah yang disediakan sangat sedap. Saya berpendirian supaya rumah terbuka ini perlu diteruskan untuk memupuk serta mengeratkan hubungan perpaduan di Kelantan," katanya.

Sementara itu di SELANGOR, seorang pekerja swasta Raihana Md Zain, 32, berkata Aidilfitri peluang terbaik baginya dan adik-beradik untuk meluangkan masa bersama meskipun meraikan perayaan itu jauh dari negeri kelahirannya di Kelantan.

Raihana berkata lima daripada 11 beradiknya kini sudah menetap lebih 20 tahun di Shah Alam dan menganggap ibu negeri Selangor itu sebagai kampung halaman selepas ibu bapanya meninggal dunia, masing-masing pada 2003 dan 2012.

“Sambutan Aidilfitri juga kekal meriah sebab masing-masing kebiasaannya akan berkumpul di rumah abang atau kakak saya yang paling tua ... Hari Raya Aidilfitri inilah masa kami berkumpul sebab memang semua akan bercuti tanpa gagal,” katanya kepada Bernama.

Di PERLIS, seorang penduduk di Kampung Sanglang, Arau, Rahimah Abdullah, 60, berkata Aidilfitri tahun ini lebih bermakna baginya apabila anak-anaknya yang menetap di Kuala Lumpur pulang beraya bersama setelah tiga tahun tidak berkesempatan pulang serentak.

“Syukur Alhamdulillah, tahun ini semua anak dapat berkumpul. Dulu ada yang terikat dengan kerja dan ada juga yang belajar di luar negara, jadi ini saat yang sangat saya nantikan,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan