Pemilik kedai Mohd Azrol Azhar, 37, berkata dia terpanggil untuk menyumbang kerana peka dan prihatin dengan kesusahan hidup sesetengah masyarakat akibat kenaikan kos sara hidup pada masa sekarang.
Mohd Azrol berkata untuk memastikan sumbangan itu dapat dinikmati lebih ramai orang, dia tidak menetapkan sebarang had usia atau bilangan penerima yang layak.
"Kita tak tetapkan jumlah penerima. Sesiapa sahaja yang rasa layak tergolong dalam kategori asnaf boleh datang ambil baju secara percuma di kedai saya tanpa mengira usia.
"Saya dan pekerja tidak pernah tanya atau periksa orang ramai yang datang ambil pakaian ini sama ada mereka layak atau tidak," katanya ketika ditemui di kedainya Spark Hobby's Toys di Simpang Tokku, di sini hari ini.
Bagaimanapun, Mohd Azrol yang juga lulusan bidang Seni Persembahan dan Kebudayaan dari Universiti Malaya berkata setiap orang hanya dibenarkan mengambil sepasang baju untuk persalinan hari raya.
Langkah itu katanya, untuk memastikan sumbangan dapat diagihkan kepada lebih ramai orang yang kurang berkemampuan di sekitar Kuala Terengganu.
"Kita juga tak tetapkan had penerima dalam keluarga, kalau ada 10 orang dalam sebuah keluarga pun semua dapat ambil.
"Mereka bebas pilih baju yang mana berkenan. Cuma syaratnya ambil sepasang seorang sahaja untuk beri peluang kepada lebih ramai orang miskin dapat merasa," katanya yang turut memiliki cawangan kedai di Uptown Pulau Warisan di sini dan di Kuala Berang.
Walaupun terpaksa membuat pelaburan tinggi dengan margin keuntungan yang tipis, Mohd Azrol tidak pernah menyesal dan lebih bermotivasi untuk membantu lebih ramai orang pada masa akan datang.
Malah, sebelum ini dia pernah menjual pakaian sekolah lengkap dengan harga RM10 sepasang bagi meringankan beban ibu bapa terutama yang memiliki anak ramai.
Walaupun murah, Mohd Azrol berkata pakaian sekolah dan hari raya yang dijual adalah berkualiti serta tahan lama.
"Tahun ini saya bekalkan lebih 100,000 helai baju sekolah. Sambutan sangat luar biasa kerana habis dalam masa seminggu.
"Malah, ada pelanggan beli dalam kuantiti yang banyak untuk disedekahkan kepada jiran atau penduduk kampung yang susah. Ada juga yang infak duit untuk pelajar miskin dapat datang ambil secara percuma di kedai," katanya yang sudah mula berniaga pada 2012.
Mohd Azrol berkata premis perniagaannya di tiga lokasi beroperasi bermula pada 9 pagi hingga 11 malam setiap hari.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial