AM

Masjid Mahmudi Melor Terjejas Banjir Perlu Dana RM4.7 Juta Untuk Naik Taraf

28/03/2025 07:48 PM

KOTA BHARU, 28 Mac (Bernama) -- Masjid Mahmudi Mukim Kedai Melor yang mengalami kerosakan teruk akibat banjir pada penghujung November tahun lepas memerlukan dana RM4.7 juta untuk kerja-kerja naik taraf. 

Imam masjid berkenaan Wan Ziadul Khair Wan Mustafha berkata setakat ini pihaknya sudah menerima sumbangan derma kira-kira RM200,000 sejak dana mula dilancarkan juga pada November tahun lepas.

"Kerugian menukar permaidani terpaksa ditanggung dan setelah sebulat suara berbincang bersama jawatankuasa atasan serta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan (MAIK), kami bercadang untuk menaik taraf masjid," katanya kepada Bernama di Masjid Mahmudi Mukim Kedai Melor di sini hari ini.

Naik taraf berkenaan melibatkan projek meninggikan paras lantai hingga 1.8 meter memandangkan masjid terletak hanya 150 meter dari Sungai Melor. 

Wan Ziadul Khair berkata kerja perobohan masjid tertua di Melor itu sudah bermula seawal Disember tahun lepas melibatkan bahagian bangunan lama yang dibina sejak 1959.

Sementara itu, bendaharinya Ahmad Fauzi Mustapha berkata masjid itu juga menjadi pusat pengajian agama dan aktiviti kebajikan bagi masyarakat setempat.

“Masjid berkenaan diharap terus menjadi simbol perpaduan masyarakat di kawasan setempat dan usaha baik pulih yang dijalankan diharap dapat memastikan ia kekal sebagai pusat ibadah serta pengajian agama untuk generasi akan datang,” katanya.

Mereka yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan atau infaq melalui akaun Bank Islam 03018010067089 atas nama Masjid Mahmudi Melor.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan