JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Berkas Dua Suspek Kes Pecah Rumah, Langgar Anggota

28/03/2025 10:45 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Tindakan pantas pihak polis berjaya menggagalkan cubaan dua lelaki melarikan diri sebaik dipercayai memecah masuk sebuah rumah di Jalan SS14, Subang Jaya, dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata dalam kejadian 3.50 petang itu, beberapa das tembakan dilepaskan ke arah kenderaan suspek yang bertindak melanggar motosikal serta seorang anggota polis di tempat kejadian.

“Kedua-dua lelaki tempatan berusia 30 dan 40-an itu terus melarikan diri sehingga ke jejambat di Jalan SS14 sebelum berjaya ditangkap pihak polis.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan bagi kesalahan memecah masuk rumah dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan bagi cubaan membunuh,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata sebelum itu, anggota ronda cegah jenayah yang berada berhampiran bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima maklumat dan semasa tiba di lokasi, kedua-dua suspek dilihat sedang keluar dari kediaman mangsa menuju ke kenderaan yang berada di hadapan rumah berkenaan.

Wan Azlan menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kejadian itu kepada Pusat Kawalan Daerah, Subang Jaya melalui talian telefon 03-78627100 atau Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah ASP Khairulazizi Ismail di talian 019-2817820.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan