BANGKOK, 1 April (Bernama-dpa) -- Beberapa bangunan tinggi di Bangkok dikosongkan pada Isnin selepas berlaku gegaran yang dipercayai sebagai gempa susulan, tiga hari selepas gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter menggegarkan negara jiran, Myanmar, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Setakat ini, sekurang-kurangnya 1,700 orang terkorban di Myanmar, manakala 3,400 lagi cedera, menurut laporan televisyen kerajaan.
Operasi mencari dan menyelamat yang masih giat dijalankan di Myanmar dan Thailand dijangka menemukan lebih ramai mangsa yang masih hilang.
Pegawai memberi amaran bahawa angka korban mungkin meningkat kepada ribuan ekoran kawasan yang terjejas padat dengan penduduk serta struktur bangunan yang mudah terdedah kepada runtuhan.
Walaupun gegaran susulan masih dirasai di rantau ini, Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) belum merekodkan sebarang gempa bumi baharu.
“Saya merasakannya, tetapi tidak sekuat gegaran pada Jumaat lalu,” kata seorang pekerja di daerah Sathorn, Bangkok kepada dpa.
Bersama puluhan rakan sekerja, pekerja itu berdiri di luar bangunan pejabat Tisco Tower selepas diarahkan dikosongkan.
Bangunan lain seperti pusat beli-belah "One Bangkok", bangunan Mahkamah Jenayah dan beberapa pejabat kerajaan turut dikosongkan sebagai langkah keselamatan, menurut akhbar Khaosod serta saksi di lokasi.
Bunyi siren kecemasan kedengaran di seluruh bandar.
-- BERNAMA-dpa
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial