AM

Kerajaan Beri Jaminan Bekalan Keperluan Asas Menjelang Aidilfitri Mencukupi - Mohamad

29/03/2025 10:51 AM

KLANG, 29 Mac (Bernama) -- Kerajaan beri jaminan bekalan keperluan barangan asas seluruh negara mencukupi menjelang sambutan Aidilfitri pada minggu hadapan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata walaupun kementeriannya ada menerima laporan ketidakcukupan bekalan, namun jumlahnya tidak banyak.

“Ada kelompang satu dua (kawasan) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan bertindak segera untuk lokaliti yang mengalami masalah. Ia tidak banyak.

“Tahun ini aduan itu amat kurang. Semua (bekalan) sampai pada pengguna,” katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Pelancaran Semarak Syawal 1446 Hijrah Peringkat Kebangsaan di Pasar Tani Taman Sri Andalas di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad berkata kementerian turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak, khususnya dalam menyokong usaha kerajaan memastikan harga barangan pada tahun ini terkawal dan berada pada paras yang agak rendah.

“Seperti disebut oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebelum ini, dalam sejarah beliau menyertai dalam kerajaan daripada tahun 1982, katanya inilah kali pertama menjelang hari raya harga barang tidak naik bahkan ia turun.

“Susulan itu saya ucapkan terima kasih khususnya kepada petani, pengusaha ayam dan telur sebab kita ada buat libat urus, berbincang secara berterus terang. Mereka memberi sokongan pada usaha-usaha dibuat yang menyebabkan harga barangan tahun ini nampaknya berada pada paras agak rendah,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata sebanyak RM16 juta nilai jualan direkodkan setakat hari ini, menerusi Program Semarak Syawal 1446 Hijrah yang berlangsung di 262 lokasi seluruh negara bermula 22 Mac sehingga esok.

Beliau berkata selain di Pasar Tani Taman Sri Andalas, jualan khas turut diadakan di 42 lokasi terpilih di seluruh negeri dengan diskaun sehingga 30 peratus bagi Bakul MADANI Raya dan potongan harga sehingga 20 peratus bagi ayam proses.

“FAMA terus komited dalam memastikan pengguna mendapat produk berkualiti dengan harga berpatutan, di samping memperkukuh peranan pasar tani sebagai platform utama bagi petani dan usahawan tempatan. Inisiatif ini juga sejajar dengan usaha kerajaan dalam memperkasakan keterjaminan makanan negara serta kesejahteraan rakyat,” katanya.

Antara pengisian menarik program berkenaan termasuk jualan produk keperluan raya seperti ketupat, santan, daun palas, daging ayam dan lembu serta pelbagai jenis kuih raya pada harga yang berpatutan.

Selain itu, jualan khas turut melibatkan penyertaan usahawan tempatan, pihak swasta serta agensi kerajaan yang menawarkan Kombo MADANI (400 bakul), Jualan Happy Hour serta promosi harga istimewa bagi ayam dan santan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan