AM

Gangguan Bekalan Air Libat Lebih 340,000 Akaun Pengguna Di P. Pinang Pada April

27/03/2025 07:18 PM

GEORGE TOWN, 27 Mac (Bernama) -- Sebanyak 341,708 akaun pengguna di lima daerah di Pulau Pinang akan terkesan dengan gangguan bekalan air berjadual (SWSI) dari 25 hingga 28 April, yang terbesar pada tahun ini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata gangguan itu susulan pelaksanaan 23 projek pemasangan paip dan kerja penting lain oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) yang melibatkan kos keseluruhan RM25 juta.

"Impak pelaksanaan 23 projek itu bakal dirasai 465,000 akaun pengguna air di negeri ini seperti lebih banyak bekalan air, tekanan lebih baik dan stabil setiap masa serta tempoh pemulihan lebih pantas sekiranya  berlaku gangguan air," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Chow berkata pelaksanaan kerja fizikal projek berkenaan oleh 800 petugas dijangka mengambil masa selama 18 jam.

Beliau berkata SWSI April 2025 itu melibatkan operasi henti tugas separa untuk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua dengan tempoh maksimum gangguan bekalan air dijadualkan 60 jam. 

Bagaimanapun, Pengerusi PBAPP itu berkata mereka merancang untuk mencapai pemulihan bekalan air sebanyak 88 peratus atau 300,185 daripada akaun pengguna terjejas dalam tempoh 48 jam.

"Menerusi pemberitahuan notis awal ini, diharapkan orang ramai dapat memberikan kerjasama penuh. Simpan air mencukupi untuk kegunaan 24, 48 atau 60 jam bergantung kepada lokasi kediaman masing-masing," katanya. 

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP Datuk K. Pathmanathan pula berkata pemulihan bekalan air dilaksanakan secara berperingkat iaitu 40 peratus atau 136,683 akaun pengguna di Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT), Seberang Perai Selatan (SPS), Barat Daya dan Timur Laut dalam tempoh 24 jam.

Pemulihan sebanyak 88 peratus melibatkan 163,502 lagi akaun pengguna di SPU,SPT, SPS Barat Daya dan Timur Laut dijangka dalam tempoh 48 jam manakala bekalan air bagi 41,523 akaun pengguna dijangka pulih dalam tempoh 60 jam.

Beliau juga berkata keutamaan semasa SWSI itu ialah kerja penyambungan akhir untuk bahagian Saluran Paip Menyeberangi Sungai (SP-RCP) Sungai Perai baharu di Ampang Jajar bernilai RM8.7 juta.

Bagaimanapun, PBAPP telah memutuskan untuk melaksanakan tujuh projek lain di LRA Sungai Dua sepanjang SWSI April 2025 bagi mengoptimumkan pengepaman dan bekalan air terawat daripada LRA itu.

“Projek yang akan dilakukan di LRA Sungai Dua termasuk kerja menaik taraf dan penyelenggaraan segera berkaitan operasi pengepaman air terawat, pembaikan kebocoran saluran paip berdiameter 700 milimeter serta penggantian injap kupu-kupu pada bahagian saluran paip utama 1.2 meter di Jalan Pengkalan Tambang berhampiran LRA itu,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan