JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Sita 10 Motosikal RXZ Dalam Op Khas Samseng Jalanan

30/03/2025 03:45 PM

KUALA TERENGGANU, 30 Mac (Bernama) -- Polis menyita 10 motosikal Yamaha RXZ dalam Op Khas Samseng Jalanan di sekitar bandaraya Kuala Terengganu malam tadi.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata operasi khas yang dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) itu memeriksa 80 motosikal di sekitar kawasan Jambatan Angkat dan Restoran Ali Spices di pusat bandar.

Beliau berkata operasi itu dilancarkan susulan aduan orang awam berkaitan bunyi bising daripada motosikal yang menggunakan ekzos ubah suai.

“Aktiviti itu jelas mengganggu ketenteraman orang ramai yang menunggu untuk berbuka puasa di tempat awam,” katanya ketika ditemui pada Op Selamat 24 Aidilfitri di Plaza Tol Kuala Terengganu (Tol Gemuruh) di sini hari ini.

Selain itu, Mohd Khairi berkata 46 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada cermin sisi, ubah suai ekzos, tiada brek, tiada lesen memandu, nombor plat tidak mengikut spesifikasi dan lesen kenderaan motor tamat tempoh.

Beliau bagaimanapun berkata ujian air kencing yang dijalankan ke atas 10 pemilik motosikal yang disita itu didapati negatif.

“Kita akan teruskan konsep penugasan secara risikan berdasarkan maklumat diterima daripada orang ramai. Tindakan penyamaran juga akan dilakukan bagi mengekori dan memantau aktiviti itu. Jadi, saya ingatkan pemilik motosikal supaya mematuhi peraturan dan undang-undang bagi mengelak dikenakan tindakan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan