AM

Pakistan, Iran Nyata Komitmen Perkukuh Hubungan Dua Hala Dengan Malaysia- PM Anwar

31/03/2025 11:13 PM

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Keakraban hubungan Malaysia dan Pakistan yang semakin erat telah membuka ruang untuk meneroka pelbagai kerjasama baharu yang melibatkan kedua-dua negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata perkembangan itu adalah hasil daripada pertemuan beliau dengan rakan sejawatnya Shehbaz Sharif di Pakistan pada Oktober tahun lepas.

"Alhamdulillah, jumlah pelaburan Pakistan di Malaysia telah berkembang dengan baik dan kini mencecah sekitar USD397 juta (RM1.76 bilion). Saya mengalu-alukan lebih banyak pelaburan baharu, terutama dalam bidang pertanian, petrokimia, dan biojisim," katanya menerusi hantaran di akaun Facebook miliknya hari ini.

Perdana Menteri dalam hantaran sama turut memaklumkan bahawa beliau menerima panggilan telefon daripada Shehbaz hari ini, yang antara lain membincangkan hubungan dua hala Malaysia dan Pakistan.

"Kami sempat menilai semula memorandum persefahaman (MoU) yang dipersetujui sebelum ini, terutama terkait pelaburan, perdagangan, pendidikan, penyelidikan, pembangunan serta bidang sains.

“Insya-Allah, kami sepakat untuk menyegerakan sebarang urusan tertunggak bagi merealisasikan kerjasama tersebut.

"Kami juga sempat bertukar ucapan Aidilfitri dan mendoakan kebaikan buat rakyat kedua-dua negara. Saya mendoakan semoga keberkatan Ramadan dan Aidilfitri membawa rahmat kepada hubungan persahabatan Malaysia dan Pakistan demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara," katanya.

Anwar berkata perbualan beliau dengan Shehbaz juga menyentuh mengenai perkembangan di Gaza tatkala Israel melanggar perjanjian gencatan senjata dan menggagalkan usaha damai menerusi serangan ganas terhadap rakyat Palestin.

"Kami sempat bertukar pandangan dan menyelaras idea mengenai usaha menghentikan keganasan serta pemulihan semula Gaza," katanya.

Anwar turut memaklumkan Shehbaz n mengadakan kunjungan sulungnya ke Malaysia pada 9 Mei ini.

Sementara itu, dalam hantaran berasingan, Anwar berkata beliau juga menerima panggilan telefon daripada Presiden Iran, Dr. Masoud Pezeshkian, hari ini, yang antara lain menyentuh mengenai usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia dan Iran selain bertukar ucapan sempena sambutan Aidilfitri.

"Kami menzahirkan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan persahabatan kedua-dua negara, terutama dengan mempertingkatkan pelaburan dan perdagangan, selain memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang yang berpotensi.

"Alhamdulillah, kunjungan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan ke Tehran pada bulan lepas membawa perkembangan positif dalam hubungan serta kerjasama dua hala Malaysia dan Iran," katanya.

Justeru, Perdana Menteri berkata beliau akan memastikan kesinambungan kunjungan berkenaan dengan menyegerakan dan mempermudahkan segala usaha untuk mengembangkan kerjasama dalam bidang pelaburan, perdagangan, pendidikan, penyelidikan dan bidang lain yang berkaitan.

Menurut Anwar, dalam perbualan bersama Pezeshkian itu, beliau turut mengulangi penghargaan Malaysia terhadap pendirian teguh dan konsisten Iran dalam memperjuangkan hak serta keadilan buat rakyat Palestin, selain menentang kezaliman Israel.

"Kami percaya solidariti dan kesatuan dalam kalangan negara Islam serta warga dunia amat penting dalam usaha memastikan keadilan dan keamanan berpanjangan di bumi Gaza," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan