JENAYAH & MAHKAMAH

Kebakaran Putra Heights: Siasatan Di Kawah Letupan Belum Dapat Dimulakan, Tanah Tidak Stabil

06/04/2025 06:43 PM

KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Kerja-kerja siasatan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) di kawasan kawah yang terbentuk akibat letupan saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya, belum dapat dimulakan, kata Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan.

Beliau berkata pihak berkuasa masih perlu menstabilkan kawasan ‘ground zero’ yang kini sangat tidak stabil akibat letupan serta ditakungi air kerana hujan.

Bagi memulihkan keadaan, Hussein berkata pengaliran sementara melalui pembinaan longkang monsun yang merentasi paip gas Petronas telah dilakukan dan selesai hari ini.

“Ini termasuk kerja-kerja ‘heat mapping’ (100-650 Celcius) melibatkan 300 meter radius, ini adalah fasa pertama. Dalam fasa kedua, kita akan memastikan keselamatan dan kestabilan tanah sebelum kerja pengorekan bagi memperlihatkan saluran paip gas dan pencarian keterangan fizikal dapat dilakukan.

“Ini melibatkan aktiviti pemeriksaan permukaan tanah, pengkelasan tanah dan pemasangan cerucuk keping yang akan berlangsung esok hingga 15 April,” katanya pada sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Putra Heights hari ini.

Hussein berkata selepas kesemua proses itu selesai, barulah proses siasatan JKKP dan polis untuk mengenal pasti punca kejadian dapat dijalankan diikuti proses pemeriksaan, pembaikan dan penyambungan semula bekalan paip gas yang terkesan.

Ditanya tempoh diperlukan untuk menstabilkan keadaan tanah, beliau berkata ia mungkin mengambil masa lama kerana kawah yang terhasil akibat letupan itu berkedalaman tujuh meter.

“Dengan keadaan hujan sekarang kita terpaksa keluarkan air dahulu (dari kawah), itu saja akan mengambil masa tujuh hingga 10 hari.

“Cabaran lain adalah kita kena keluarkan tanah lapisan demi lapisan sampailah pada kedalaman enam meter selepas memasang cerucuk keping, disusuli usaha mendokumenkan video dan gambar untuk bantu siasatan. Selepas itu, baru kita boleh masuk dan keluarkan laporan awal dalam dua minggu lagi,” katanya.

Kebakaran saluran gas Petronas pada 8.10 pagi Selasa, menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Sebanyak 219 rumah didapati terjejas manakala 220 kediaman disahkan selamat dan tidak terkesan dalam insiden itu.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan