AM

PBAPP Sasar Pulih Bekalan Air Dalam Tempoh 24 Jam Untuk 40 Peratus Pengguna Terjejas

07/04/2025 07:43 PM

GEORGE TOWN, 7 April (Bernama) -- ​Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) merancang memulihkan perkhidmatan bekalan air dalam tempoh 24 jam kepada kira-kira 40 peratus pengguna yang terjejas akibat Gangguan Bekalan Air Berjadual (SWSI) di Pulau Pinang, dari 25 hingga 28 April ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP Datuk K. Pathmanathan berkata dalam tempoh 48 jam, perkhidmatan bekalan air dijangka pulih untuk kira-kira 88 peratus pengguna yang terjejas, termasuk kilang-kilang di kawasan perindustrian utama Pulau Pinang serta Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

Beliau berkata dalam tempoh 60 jam, bekalan air dijangka pulih sepenuhnya untuk semua pengguna yang terjejas, melibatkan sebanyak 341,708 pengguna air di seluruh negeri itu.

“SWSI April 2025 dijadualkan bermula pada 25 April (Jumaat) pukul 10 malam dan dijangka pulih sepenuhnya pada 28 April (Isnin) pukul 10 pagi. Gangguan ini dilaksanakan pada hujung minggu untuk meminimumkan kesulitan bagi pengguna yang terjejas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

SWSI April 2025 adalah satu-satunya gangguan bekalan air berjadual di negeri itu pada tahun ini susulan pelaksanaan 23 projek pemasangan paip dan kerja penting lain oleh PBAPP yang melibatkan kos keseluruhan RM25 juta.

Menurut Pathmanathan, gangguan bekalan air itu melibatkan kebanyakan kawasan di kesemua lima daerah di Pulau Pinang iaitu di Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT), Seberang Perai Selatan (SPS), Timur Laut dan Barat Daya.

“PBAPP memohon maaf atas segala kesulitan yang akan timbul disebabkan oleh SWSI April 2025. Pengguna yang terjejas dinasihatkan untuk merancang lebih awal dengan menyimpan bekalan air yang mencukupi untuk kegunaan selama 24, 48 atau 60 jam, bergantung kepada kawasan kediaman atau tempat kerja masing-masing.

“Kami juga akan mengumumkan pelan penghantaran lori tangki air yang komprehensif lewat minggu ini untuk mengurangkan kesulitan orang awam semasa SWSI April 2025,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan