AM

Kebakaran Gas: Lebih Banyak Syarikat Diharap Sumbang Kepada Mangsa

07/04/2025 08:46 PM

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Kerajaan berharap lebih banyak lagi syarikat korporat dapat tampil memberikan sumbangan kepada mangsa insiden letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada Selasa lepas.

Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Azman Abidin berkata langkah itu penting bagi meringankan beban mangsa walaupun pelbagai bantuan telah diberikan oleh kerajaan dan agensi berkaitan.

Beliau berkata setakat hari ini, sebanyak RM1.4 juta telah disalurkan kepada mangsa-mangsa yang terjejas, termasuk bantuan kilat dari Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dan juga bantuan awal daripada Petronas.

“Untuk bantuan kilat ICU ini, keseluruhan penerima adalah 219 keluarga, dengan penduduk yang rumahnya langsung tidak boleh diduduki menerima bantuan RM5,000, manakala penduduk yang mengalami kerosakan separa pada rumah menerima RM2,500.

“Pihak Petronas juga ada memberikan sumbangan, menjadikan nilai keseluruhannya adalah RM1.4 juta," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan awal itu kepada mangsa kejadian di Dewan Masyarakat Bukit Lanchong dekat sini, hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Azman berkata bantuan kilat yang diberikan adalah seperti yang dijanjikan Perdana Menteri pada minggu lepas bagi mengurangkan beban mereka yang terjejas.

“Kita tahu ramai mangsa tertanya-tanya soal bagaimana mereka boleh duduki rumah semula, mendapat pampasan dan sebagainya, tetapi percayalah bahawa sekarang ini, kerajaan MADANI, kerajaan negeri dan semua agensi, terutama Petronas, berusaha mencari jalan penyelesaian kepada masalah mereka,” katanya.

Sementara itu, seorang penerima bantuan kilat tersebut, A. Puspagaran, 45, berkata biarpun jumlahnya tidak banyak, namun ia menunjukkan keprihatinan kerajaan.

“Tidak sepenuhnya dapat tampung (nilai kemusnahan dan saya masih perlu tambah mana yang patut), tapi sekurang-kurangnya ini membantu. Saya sudah tinggal di rumah saya selama 13 tahun.

“Saya kehilangan semua, total loss. Saya harap proses bina balik rumah itu dapat dipercepatkan kerana sekarang ini saya tinggal dengan keluarga mertua,” kata beliau yang bekerja sebagai ketua automasi di sebuah bank.

Insiden itu mengakibatkan 81 rumah disahkan musnah sepenuhnya dengan kerosakan pada struktur melebihi 40 peratus, 81 buah rumah separa musnah, 57 terkesan tetapi tidak terbakar, manakala 218 rumah lagi tidak terjejas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan