KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- “Hampir setiap hari kami merasai gempa susulan di Myanmar, tidak kurang daripada magnitud 3.0 dan paling tinggi dirasai magnitud 5.2, namun ia tidak sesekali melemahkan semangat pasukan MAS-01 dalam usaha menyelamatkan seberapa banyak mangsa yang boleh.”
Itu antara pengalaman yang dikongsikan Komander Kontinjen MAS-01 Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) Operasi Myteam Relief Mohamad Hafiezul Abdul Halim sepanjang tempoh operasi di kawasan bencana Myanmar terutamanya di kawasan runtuhan yang kompleks.
“Pasukan mempunyai aplikasi yang boleh mengesan magnitud gempa bumi yang akan dikemas kini setiap hari. Sebagai tahap persediaan (jika berlaku gempa susulan), kita ambil pendekatan tinggal atas padang, pasang khemah sendiri dan sebagainya untuk kurangkan impak bencana.
“Syukur, kita pergi dan balik dalam keadaan selamat. Penugasan adalah ke tiga daerah terjejas iaitu Mandalay, Naypyidaw dan Sagaing. Alhamdullilah kerjasama daripada pihak Myanmar terutamanya Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Tempatan (LEMA) amat baik,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Pasukan MAS-01 di Markas SMART Pulau Meranti, di sini hari ini.
Seramai 50 anggota dan pegawai Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berlepas ke Naypyidaw, Myanmar pada 30 Mac lepas bagi misi bantuan kemanusiaan serta menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di negara itu.
Kesemua mereka selamat kembali ke tanah air kira-kira 5 petang tadi di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang dan ketibaan mereka disambut oleh Panglima Angkatan Tentera Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar dan Ketua Pengarah NADMA Datuk Khairul Shahril Idrus.
Berkongsi cabaran yang dihadapi pasukan MAS-01, Mohamad Hafiezul yang juga Penguasa Kanan Bomba 1 (PgKB 1) berkata cuaca panas dan kering mencecah 41 darjah Celcius agak menyukarkan namun tidak melemahkan semangat dua kumpulan yang bertugas secara bergilir-gilir setiap hari.
“Waktu tugasan adalah 8 hingga 1 tengah hari dan 1 tengah hari hingga 6 petang. Kejayaan kami adalah apabila berjaya menemukan mangsa hidup, seorang lelaki berumur 47 tahun yang terperangkap enam hari di bawah runtuhan. Kami difahamkan beliau guru besar di sebuah sekolah,” katanya.
Angka kematian akibat gempa bumi 7.7 magnitud yang melanda Myanmar 10 hari lepas meningkat kepada sekurang-kurangnya 3,514, dengan 210 orang lagi masih hilang, menurut data yang dikeluarkan oleh kerajaan tentera Myanmar pada Isnin, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Kebanyakan korban dilaporkan di sekitar Mandalay, bandar kedua terbesar di negara itu, iaitu lebih 2,100 kematian telah disahkan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Operasi NADMA Datuk Dr Abdul Gapar Abu Bakar dalam ucapannya pada majlis itu berkata sebaik mendarat, pasukan MAS-01 menjalani saringan kesihatan dan kesemua mereka sihat dari segi fizikal dan mental.
“Sepanjang tempoh penugasan selama enam hari, pasukan telah menjalankan operasi SAR di 11 tapak kerja kebanyakannya luar keupayaan peralatan dan kawasan runtuhan yang kompleks.
“Selain seorang mangsa hidup, pasukan juga mengeluarkan 10 mangsa yang telah meninggal dunia termasuk empat kanak-kanak. Mereka adalah ‘duta negara’ yang berjaya diatur gerak dalam tempoh masa yang singkat dengan persediaan rapi,” katanya.
Ditanya sama ada mungkin terdapat misi kedua, beliau berkata buat masa ini tiada sebarang keperluan dan misi operasi kali ini tamat namun akan dipertimbangkan sekiranya ada permintaan.
“….jika ada permintaan mungkin kita akan susuli tetapi peringkat seterusnya (di Myanmar) adalah lebih kepada pascabencana sahaja,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial