AM

PM Anwar Terbuka Dengar Pandangan Penjawat Awam - Mohd Zuki

07/04/2025 11:18 PM

PUTRAJAYA, 7 April (Bernama) -- Bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali menyifatkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang pemimpin yang sentiasa terbuka mendengar pandangan dan cadangan daripada penjawat awam selain sangat mengutamakan kepantasan bekerja serta keputusan yang dihasilkan.

Mohd Zuki, yang juga Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), berkata Anwar amat menekankan kebajikan penjawat awam dan ia terbukti dengan keputusan kerajaan untuk menyemak semula gaji penjawat awam melalui pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

"Beliau menghormati penjawat awam dan amat terbuka (mendengar) pandangan dan idea yang dikemukakan mereka.

"Perkara ini antara yang saya belajar daripada beliau, iaitu berilah peluang kepada orang bawah untuk memberikan pandangan," katanya semasa berucap pada Majlis Makan Malam Mantan KSN dan Apresiasi Pasukan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) di sini malam ini.

Melalui SSPA yang berkuat kuasa pada 1 Dis tahun lepas, pegawai Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional yang memilih skim itu akan menerima pelarasan gaji sebanyak 15 peratus secara berfasa manakala Kumpulan Pengurusan Tertinggi pula menerima pelarasan gaji sebanyak tujuh peratus secara berfasa.

Mohd Zuki dilantik sebagai KSN pada 31 Dis 2019 dan bersara pada 10 Ogos 2022 sebelum kontraknya disambung selama dua tahun.

Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dari Nanyang University, Singapura mempunyai pengalaman berkhidmat sebagai penjawat awam selama lebih 32 tahun dan pernah bertugas di Istana Negara serta Jabatan Perdana Menteri.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan