GEORGE TOWN, 8 April (Bernama) -- Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) akan bekerjasama dengan Tourism Malaysia untuk mengkaji dasar insentif dan melaksanakan perincian yang dapat menggalakkan pembangunan pelancongan pelayaran di negeri itu.
Pengerusi SPPP Datuk Yeoh Soon Hin berkata kerjasama itu termasuk menyokong syarikat pelayaran beroperasi di Pulau Pinang, menambah jumlah jadual perjalanan dan mempromosikan negeri pada persidangan pelayaran antarabangsa.
Beliau berkata mempromosikan pelancongan pelayaran memerlukan usaha pemasaran dan promosi Tourism Malaysia, selain bekerjasama untuk membangunkan Pulau Pinang sebagai destinasi pilihan bagi genre pelancongan itu.
“Pulau Pinang mempunyai empat kelebihan utama dalam membangunkan industri pelayaran antarabangsa. Pertama, Terminal Pelayaran Jeti Swettenham Pulau Pinang (SPCT) terletak di kedudukan strategik di pesisir Selat Melaka, menyediakan akses mudah ke Lautan Hindi.
“Kedua, ia disokong rantau segi tiga emas Malaysia,Thailand dan Indonesia, menawarkan sumber pasaran pengguna pelayaran yang besar dan negeri ini mempunyai persekitaran serta pasaran perniagaan berkaitan industri pelayaran antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, Yeoh berkata terminal pelayaran itu juga terletak di dalam kawasan tapak warisan dunia UNESCO, mewujudkan kelebihan kepada sokongan pembangunan dan perkhidmatan produk industri pelancongan pelayaran.
Pada 25 Mac lepas, Yeoh mengetuai delegasi untuk bertemu Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing di pejabat menteri di Putrajaya bagi membincangkan promosi industri pelayaran negara.
Yeoh memaklumkan pada 2024, SPPP aktif mempromosikan pemulihan pasaran pelancongan pelayaran, mengadakan perbincangan mendalam dan kerjasama komprehensif dengan beberapa syarikat pelayaran antarabangsa, dengan usaha itu berjaya menarik kapal persiaran dari Eropah, Amerika Syarikat dan China untuk berlabuh di SPCT, meningkatkan ekonomi Pulau Pinang.
"Pembangunan pelancongan pelayaran akan memasuki fasa baharu. Kami akan terus merebut peluang utama dibentangkan oleh pemulihan pasaran pelancongan pelayaran, menggalakkan integrasi mendalam antara pelancongan pelayaran Pulau Pinang dengan produk serta perkhidmatan pelancongan di sini dan secara aktif berusaha menjadikan negeri sebagai destinasi pelancongan pelayaran berpengaruh pada peringkat antarabangsa," katanya.
Yeoh turut memaklumkan Tiong memberi jaminan kementerian itu akan terus membantu usaha promosi dilakukan SPPP dan bekerjasama mengoptimumkan produk pelancongan pelayaran dan mengembangkan pasaran untuk penumpang pelayaran.
Untuk rekod, Pulau Pinang menerima 573,178 pelancong antarabangsa di perairannya pada 2023, meningkat 30.56 peratus berbanding 439,012 pelancong pada 2022.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial