KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Pemegang saham WCT Holdings Bhd (WCT) telah meluluskan cadangan penyenaraian Paradigm Real Estate Investment Trust (Paradigm REIT) di Pasaran Utama, Bursa Malaysia Securities Bhd.
Dalam satu kenyataan hari ini, kumpulan hartanah dan pembinaan itu berkata kelulusan pemegang saham diperoleh pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang diadakan hari ini.
“Sebagai sebahagian daripada cadangan penyenaraian Paradigm REIT, pemegang saham turut meluluskan pelupusan tiga hartanah runcit iaitu Bukit Tinggi Shopping Centre, Paradigm Mall Petaling Jaya dan Paradigm Mall Johor Bahru kepada Paradigm REIT pada harga RM2.44 bilion.
“Pertimbangan pelupusan akan diselesaikan menerusi terbitan 1.6 bilion unit dalam Paradigm REIT pada harga terbitan RM1.00 seunit dan pertimbangan tunai RM837 juta,” kata WCT.
Katanya, pemegang saham turut meluluskan cadangan tawaran 560 juta unit dalam Paradigm REIT.
“Ia termasuk cadangan tawaran runcit sehingga 254.66 juta unit bagi pemegang saham WCT yang layak, pengarah dan pekerja kumpulan yang layak serta Paradigm REIT Management Sdn Bhd, pengurusan syarikat Paradigm REIT, termasuk orang awam Malaysia.
“Daripada cadangan tawaran runcit, 194.86 juta unit akan disediakan untuk pemegang saham WCT yang layak berdasarkan satu unit bagi setiap lapan saham biasa yang dipegang, pada penutupan perniagaan pada tarikh kelayakan yang akan ditentukan dan diumumkan oleh WCT,” katanya.
Syarikat itu berkata cadangan tawaran itu juga termasuk tawaran institusi sekurang-kurangnya 305.34 juta unit, dengan 200 juta unit dikhaskan bagi pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, serta sekurang-kurangnya 105.34 juta unit diperuntukkan kepada institusi lain dan pelabur terpilih.
“Cadangan penyenaraian Paradigm REIT dijangka mengukuhkan lembaran imbangan dengan mengurangkan pinjaman sambil memberi peluang kepada pelabur untuk menyertai kepelbagaian portfolio aset runcit yang menjana pendapatan dan menawarkan agihan tunai yang stabil serta peningkatan modal jangka panjang,” kata WCT.
Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Lee Tuck Fook berkata syarikat menghargai sokongan daripada pemegang saham dalam meluluskan cadangan penyenaraian Paradigm REIT.
“Inisiatif strategik ini bukan hanya membuka nilai aset runcit kami tetapi juga menyediakan fleksibiliti kewangan yang lebih baik kepada WCT untuk memacu peluang pertumbuhan baharu.
“Kami yakin bahawa Paradigm REIT akan memberi nilai tambahan kepada Pasaran Utama Bursa Securities dan memberikan pulangan yang mampan kepada pelabur kami,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial