POLITIK

Pembatalan Pengundian Pemilihan AMK Kedah Berikutan Masalah Teknikal

12/04/2025 10:16 AM

ALOR SETAR, 11 April (Bernama) -- Pengundian bagi pemilihan Angkatan Muda Keadilan (AMK) cabang PKR seluruh Kedah yang dibatalkan hari ini adalah disebabkan masalah teknikal pada aplikasi pengundian.

Setiausaha PKR Kedah Dr Mohamad Sofee Razak berkata masalah berkenaan menyebabkan sistem tidak dapat mengenal pasti tarikh lahir anggota berumur 35 tahun dan ke bawah.

“Mereka boleh mengundi bagi peringkat cabang tetapi tidak boleh mengundi untuk pemilihan AMK. Bagi pemilihan peringkat cabang dan wanita pula ia berjalan lancar.

“Secara keseluruhannya proses pemilihan pada hari ini sama ada undian secara fizikal atau dalam talian berjalan lancar kecuali AMK dan tiada isu lain yang timbul,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini malam ini.

Terdahulu, Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan pengundian bagi pemilihan AMK cabang PKR seluruh Kedah hari ini dibatalkan.

Pengundian akan dijalankan semula esok bermula 8 pagi sehingga 5 petang.

Sementara itu, Pengerusi PKR Kedah Nor Azrina Surip @ Nurin Aina Abdullah berkata 19,356 anggota PKR layak mengundi melibatkan semua 15 cabang di Kedah.

Beliau berkata sebanyak 19,003 anggota atau 98.2 peratus mengundi secara online manakala 353 orang atau kira-kira 1.8 peratus menunaikan tanggungjawab mengundi secara fizikal.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan