AM

UUM Catat Kadar Kebolehpasaran Graduan 96.6 Peratus Tahun Lepas

12/04/2025 12:41 PM

ALOR SETAR, 12 April (Bernama) -- Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya mencatatkan kadar kebolehpasaran graduan (GE) 96.6 peratus tahun lepas.

Naib Canselor UUM Prof Datuk Dr Mohd Foad Sakdan berkata data rasmi yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berdasarkan Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) itu menunjukkan GE UUM meningkat konsisten iaitu 94.4 peratus pada 2022, 95 peratus pada 2023, dan 96.6 peratus pada 2024.

“Ini sekali gus mengatasi sasaran kebangsaan sebanyak 86.4 peratus dan menjadikan UUM sebuah institusi yang berfokuskan pengurusan dan perniagaan, terbukti berjaya melahirkan graduan yang berkualiti tinggi.

“Selain itu kadar bekerja graduan UUM turut mencatatkan pencapaian mengagumkan, sebanyak 97.1 peratus, melalui definisi operasi baharu KPT untuk Kadar Bekerja Graduan. Kejayaan ini adalah bukti keberkesanan pendekatan holistik universiti dalam menyediakan pelajar untuk dunia pekerjaan yang mencabar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak industri yang terus mempercayai kebolehan dan kemahiran graduan UUM.

Mohd Foad berkata rekod kejayaan ini juga mencerminkan komitmen UUM dalam mengadaptasi pendekatan pendidikan berorientasikan industri yang menyeimbangkan teori dan kemahiran praktikal, sejajar dengan keperluan moden.

“Melalui pencapaian ini juga, UUM bukan sahaja terus kukuh sebagai universiti pengurusan dan perniagaan terkemuka, malah menjadi destinasi utama pelajar yang ingin mencorakkan masa depan kerjaya yang cerah,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan